SEOUL: Sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan tiga lagi hilang ketika hujan lebat menyebabkan banjir di Korea Selatan.
Ribuan penduduk terpaksa dipindahkan dari rumah masing-masing selepas menimpa hujan lebat selama tiga hari menyebabkan limpahan empangan.
Sepanjang tempoh berkenaan, hujan lebat menyebabkan banjir kilat sehingga menenggelamkan beberapa kawasan di seluruh negara.
Malah, media tempatan menjangkakan angka kematian mungkin jauh lebih tinggi.
Menurut Kementerian Dalam Negeri, lebih 6,400 penduduk di daerah tengah Goesan diarah berpindah serta-merta ketika Empangan Goesan mula melimpah akibat hujan lebat sehingga menyebabkan beberapa kampung berhampiran dinaiki air.
Jelas kementerian, tujuh orang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh dan bangunan runtuh disebabkan hujan lebat.
Dua daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang, didapati dihanyutkan arus deras air sungai di wilayah Gyeongsang Utara.
Korea Railroad Corporation memaklumkan pihaknya terpaksa menghentikan semua perkhidmatan kereta api disebabkan tanah runtuh dan landasan dinaiki air.
Sementara itu, Presiden Korea Selatan, Han Duck-soo menggesa pasukan tentera turut serta dalam operasi menyelamat dan bekerjasama dengan pegawai kerajaan bagi menggerakkan peralatan dan tenaga kerja. AFP/REUTERS