LONDON: Satu kajian mendakwa kira-kira tujuh peratus risiko kanser prostat dapat dikurangkan sekiranya penghidap penyakit itu tinggal berhampiran taman, padang dan kawasan luar bandar.
Kesan ke atas kesejahteraan psikologi bersenam di kawasan hijau didokumentasikan dengan baik.
Namun, kajian terbaharu itu dianggap luar biasa dalam usaha mencari langkah pengurangan penyakit kanser.
Lapor Daily Mail, saranan tinggal berhampiran kawasan hijau berkenaan terbukti dapat mengurangkan masalah kemurungan, salah satu faktor risiko untuk kejadian kanser prostat.
“Malah, langkah itu secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai orang melakukan senaman fizikal yang membantu mengurangkan risiko,” jelas laporan.
Penemuan kajian itu dikatakan hanya membabitkan penyakit kanser prostat.
Penyakit barah lain seperti kanser payudara, kulit dan paru-paru tidak menunjukkan sebarang kaitan dengan kajian itu.
Pasukan saintis menganalisis data dari Biobank UK yang menjalankan kaji selidik terhadap 401,189 individu berumur antara 37 hingga 73 tahun yang bebas penyakit kanser.
Tahap kesihatan golongan itu dipantau secara rapi selama lebih 12 tahun sehingga 2021.
Kajian itu menunjukkan hampir seorang dalam 10 individu daripada jumlah 43,273 orang dilaporkan menghidap satu daripada 25 jenis kanser.
Jumlah itu menunjukkan seramai 7,928 individu menghidap kanser prostat.