NEW DELHI: Seorang lelaki di India sanggup mengahwinkan isterinya dengan kekasih wanita itu selepas mendapat mereka menjalin hubungan sulit.
Ramai menyifatkan kisah luar biasa itu ibarat jalan cerita filem Bollywood.
Lelaki itu mengaturkan perkahwinan kedua buat isterinya sebaik sahaja mengetahui wanita itu berlaku curang.
Kejadian itu berlaku di Nardiganj di Bihar selepas penduduk kampung menangkap wanita muda sudah berkahwin itu yang secara curi-curi mengunjungi rumah kekasihnya ketika ketiadaan suaminya.
“Penduduk kemudian memukul kekasih wanita terbabit yang juga sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak, serta memutuskan untuk menghalau keluar mereka dari kampung tersebut.
“Bagaimanapun, apabila suami wanita itu pulang dari kerja dan mendapat tahu mengenai kecurangan isterinya, dia tidak bersetuju dengan keputusan penduduk kampung yang mahu menghalau mereka.
“Sebaliknya, lelaki itu membawa isterinya dan kekasih wanita itu ke sebuah kuil dan mengahwinkan mereka berdua,” jelas laporan tersebut.
Suami itu mendakwa dia kononnya tidak berupaya menghalang isterinya bersama dengan lelaki lain yang dicintainya hanya kerana sudah berkahwin.
Dilaporkan, lelaki dan isterinya mempunyai dua orang anak dalam tempoh tiga tahun perkahwinan.
Namun, wanita muda itu dikatakan masih mencintai kekasih lamanya.
Sebuah rakaman video menunjukkan upacara perkahwinan wanita dan kekasihnya di hadapan orang ramai, menjadi tular dalam media sosial.