AMSTERDAM: Kerajaan Belanda tumbang selepas semua pihak gagal mencapai persefahaman mengenai dasar yang mengehadkan kemasukan pendatang asing, sekali gus membuka jalan kepada pilihan raya umum (PRU) pada musim luruh tahun ini.
Krisis di negara tu bermula akibat desakan parti konservatif VVD pimpinan Perdana Menteri, Mark Rutte untuk mengehadkan kemasukan pencari suaka ke Belanda, namun cadangannya tidak disokong oleh dua daripada empat parti gabungan yang membentuk kerajaan.
“Tidak lagi menjadi rahsia bahawa anggota parti gabungan tidak sehaluan mengenai dasar imigresen berkaitan pendatang asing dan pencari suaka.
“Sehubungan itu, saya umumkan peletakan jawatan seluruh Kabinet kepada Raja Belanda,” kata Rutte dalam sidang media yang disiarkan menerusi siaran televisyen.
Namun, kerajaan gabungan pimpinan beliau akan terus berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRU yang dijangka tidak akan diadakan sebelum pertengahan November.
Ketegangan memuncak pada minggu ini apabila Rutte menuntut sokongan bagi cadangannya untuk mengawal kemasukan anak mangsa pelarian perang yang sudah berada di Belanda, membuatkan keluarga mereka menanti sekurang-kurangnya selama dua tahun sebelum kembali bersatu.
Belanda adalah antara negara di Eropah yang mengenakan dasar imigresen paling ketat, namun jumlah permohonan suaka di negara itu melonjak tahun lalu kepada lebih daripada 46,000.
Kerajaan Belanda juga menjangkakan jumlah itu meningkat melebihi 70,000 tahun ini, sekali gus melepasi rekod tertinggi dicatatkan pada 2015.
Terdapat ramai dalam kalangan pendatang asing ini terpaksa tidur di tempat terbuka tanpa akses air minuman yang bersih serta kemudahan pembersihan diri atau rawatan kesihatan.
Sehubungan itu, Rutte berjanji untuk menambah baik keadaan golongan berkenaan, dengan harapan dapat mengurangkan kemasukan pelarian ke Belanda.
Bagaimanapun, beliau gagal memperoleh sokongan daripada gabungan kerjasamanya yang berpendapat, dasar itu keterlaluan. – REUTERS