NIAMEY: Tentera Niger mendakwa menggulingkan kerajaan pimpinan Presiden Mohamed Bazoum lewat petang kelmarin, beberapa jam selepas anggota pengawal presiden menahan ahli politik itu di kediaman rasminya.
Dalam satu kenyataan yang disiarkan di televisyen nasional, Kolonel Mejar Amadou Abdramane berkata, pasukan pertahanan dan keselamatan sudah memutuskan untuk menamatkan rejim sedia ada yang dikenali rakyat.
Abdramane yang dikawal oleh sembilan pegawai lain ketika membacakan kenyataan itu turut memberi amaran terhadap sebarang campur tangan asing.
Kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Kebangsaan bagi Melindungi Negara itu berkata, kawasan sempadan sudah ditutup dan perintah berkurung di seluruh negara dilaksanakan dengan semua institusi kerajaan digantung.
“Ini berikutan kemerosotan berterusan melibatkan keadaan keselamatan, pengurusan sosial dan ekonomi yang buruk,” katanya.
Pengumuman itu dibuat sehari selepas episod ketidaktentuan tercetus apabila anggota unit pengawal elit terlibat dalam demonstrasi anti-Republik dan agensi berita melaporkan Bazoum ditahan di Istana Presiden oleh pasukan pemberontak.
Amerika Syarikat (AS) segera meminta pembebasan Bazoum dengan Presiden Benin, Patrice Talon bergegas terbang ke Niger untuk menilai keadaan selepas membuat pertemuan dengan Presiden Nigeria, Bola Tinubu.
“Saya bercakap dengan Bazoum awal pagi ini dan menjelaskan bahawa AS dengan tegas menyokong beliau sebagai Presiden Niger yang dipilih secara demokrasi. Kami menyeru agar beliau dibebaskan segera,” kata Setiausaha Negara AS, Antony Blinken kepada pemberita di New Zealand.
Pengambilalihan tentera yang menandakan rampasan kuasa ketujuh di benua Afrika sejak 2020, bakal merumitkan lagi usaha Barat untuk membantu negara-negara di rantau Sahel memerangi kumpulan bersenjata yang dikaitkan dengan pengganas al-Qaeda dan ISIS.
Menurut wartawan Al Jazeera, Mike Hanna, AS mempunyai dua pangkalan dron di Niger dan kira-kira 800 tentera, sebahagian merupakan pasukan khas yang melatih tentera Nigeria.
Niger yang merupakan bekas tanah jajahan Perancis, turut menjadi sekutu penting Kesatuan Eropah (EU) dalam memerangi penghijrahan tidak teratur dari Afrika sub-Sahara.
Tinubu, yang dipilih bulan ini sebagai pengerusi suruhanjaya Kesatuan Afrika dan Komuniti Ekonomi Negara-negara Afrika Barat (ECOWAS) berkata, kepimpinan blok serantau itu akan menentang sebarang percubaan untuk menjatuhkan kerajaan Niger yang sudah dipilih secara demokrasi.