BEIJING: Hampir suku juta penduduk di selatan China dan Vietnam dipindahkan ketika taufan keempat paling kuat tahun ini, Taufan Talim membadai, sekali gus mencetuskan kebimbangan berlakunya banjir, selain ratusan penerbangan dan perkhidmatan kereta api dibatalkan.
Pentadbiran Meteorologi China menyatakan, Talim membadai kawasan pantai di wilayah Guangdong pada pukul 10.20 malam waktu tempatan pada malam kelmarin dengan membawa angin kencang sekuat 136.8 kilometer.
Taufan itu juga membawa hujan lebat dari Guangdong hingga ke wilayah Hainan menyaksikan hampir 230,000 penduduk di Guangdong dipindahkan ke kawasan selamat.
Pihak berkuasa China turut mengarahkan puluhan kawasan tumpuan pelancong ditutup, manakala sebanyak 11 bot penyelamat, lima helikopter, 46 kapal penyelamat dan lapan pasukan kecemasan dikerahkan bersiap siaga menghadapi taufan itu.
Talim kemudiannya bergerak ke Teluk Beibu di Laut China Selatan dan membadai Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang pada pagi semalam.
Dalam pada itu, ratusan perkhidmatan kereta api di Guangdong dan Hainan, termasuk kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Guangzhou dan Shenzhen dihentikan sementara ketika Talim membadai
Die Vietnam pula, pihak berkuasa sudah mengarahkan lebih 30,000 penduduk di kawasan berisiko berpindah.
Selain itu, para pelancong di negara itu juga dinasihatkan supaya mengambil langkah berhati-hati dan banyak syarikat penerbangan menunda jadual bagi mengelak taufan tersebut.
Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh memberi amaran berkemungkinan berlakunya banjir dan mengarahkan pasukan kecemasan supaya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.