NEW DELHI: Angka kematian akibat tanah runtuh yang berlaku di sebuah kampung di kawasan pergunungan di Maharashtra, India kini mencecah 27 orang.
Menurut pegawai, sekurang-kurangnya 50 orang lagi masih hilang ketika pasukan penyelamat bergelut dalam hujan lebat untuk mencari mangsa yang terselamat.
Tanah runtuh disebabkan hujan lebat berterusan pada Khamis lalu, melanda sebuah kampung di daerah Raigad, kawasan berbukit dan hutan kira-kira 100 kilometer (km) dari Mumbai.
Pasukan kecemasan menggali timbunan tanah untuk mencari mangsa yang terperangkap.
“Setakat ini, kami sudah menemukan 27 mayat mangsa. Kira-kira 50 hingga 60 orang masih hilang.
“Pasukan penyelamat mengharungi pelbagai cabaran semasa melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian,” kata pegawai Raigad, Yogesh Mhase.
Menurut Mhase, perkampungan itu terletak kira-kira lima kilometer dari jalan raya terdekat.
“Sukar untuk membawa masuk jentera berat ke lokasi itu, malah kami hanya mempunyai mesin kecil dan kebanyakan kerja perlu dialihkan secara manual.
“Hujan lebat tanpa henti di kawasan ini juga menyukarkan lagi keseluruhan operasi menyelamat tersebut,” katanya. – AFP