Taliban tutup salun kecantikan: 60,000 peluang pekerjaan 'lenyap'

Taliban tutup salun kecantikan: 60,000 peluang pekerjaan ‘lenyap’

SEORANG pakar kecantikan menata rias wajah pelanggannya di sebuah salon kecantikan di Kabul, Afghanistan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Salun rambut dan pusat kecantikan di seluruh Afghanistan akan ditutup dalam tempoh beberapa minggu lagi berikutan arahan tegas kerajaan Taliban yang bakal menyebabkan kehilangan kira-kira 60,000 pekerjaan.

RAMPAS KEGEMBIRAAN

Salun dibenarkan untuk terus beroperasi sejak Taliban merampas semula kuasa dua tahun lalu, tetapi kerajaan membuat pusingan-u bulan lalu.

Keputusan itu mengehadkan lagi ruang terbuka kepada wanita Afghanistan yang sudah dihalang dari memasuki bilik darjah, gim dan taman.

Zarmina yang berusia 23 tahun menceritakan pengalaman sedih berada di salun kecantikan untuk mewarnakan rambut apabila berita mengenai penutupan itu diumumkan.

“Pemilik salun terkejut besar dan mula menangis. Kami tahu dia adalah pencari nafkah untuk keluarganya.

“Saya juga tidak dapat melihat cermin ketika kening saya dibuat. Semua orang menangis ketika itu. Suasananya begitu sepi dan sayu,” katanya kepada Al Jazeera.

Zarmina mengakui sering mendengar kaum lelaki melarang anak perempuan mereka memakai solekan atau pergi ke rawatan kecantikan berikutan lokasi kediamannya yang terletak berhampiran tempat tinggal majoriti pemimpin tertinggi konservatif Taliban.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia berkahwin pada usia 16 tahun justeru, peluang ke salun dan berbual dengan jurusolek sudah cukup untuk memberinya rasa kebebasan serta waktu bersendirian yang jarang diperoleh golongan wanita di negara itu.

“Saya tidak dibenarkan keluar rumah sendirian tetapi saya berjaya memujuk suami, dan dibenarkan mengunjungi salon kecantikan dua atau tiga kali setahun.

“Saya membayar sendiri di salun dan ia memberi saya kekuatan dan kuasa. Kini saya mempunyai wang tetapi tidak boleh lagi membelanjakannya untuk diri sendiri di salun kecantikan. Keadaan ini membuatkan saya berasa miskin,” katanya.

TAMBAH TEKANAN

Krisis ekonomi dan isu kebebasan wanita semakin meningkat selepas Taliban merampas semula kuasa pada Ogos 2021 berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS) dari negara itu.

“Kini wanita hanya bercakap tentang pengangguran, diskriminasi dan kemiskinan,” kata Zarmina.

Dalam pada itu Madina, 22, berkata, dia sering ke salun bukan hanya kerana suka mengikuti fesyen terkini dan memakai solekan tetapi juga untuk mengukir keceriaan dalam perkahwinannya.

Madina bercita-cita menjadi seorang peguam tetapi Taliban menghalang wanita pergi ke universiti dan dia juga gagal mendapatkan pekerjaan selepas banyak peluang untuk golongan hawa dihalang kerajaan.

“Suami saya akan memuji penampilan saya apabila saya keluar dari salon, yang membuatkan saya berasa gembira dan yakin hingga dapat melupakan sebentar kesedihan yang dihadapi.

“Pekerja wanita di salun juga tidak lagi memakai skirt atau seluar jeans, mereka semua berhijab dan ketakutan ada di mana-mana. Tiada yang mengetahui siapa penyokong Taliban dan tiada siapa yang mahu berkata apa-apa tentang politik,” katanya.

Bagi Somaya, 27, yang tinggal di bandar Mazar-i-Sharif, salun kecantikan adalah satu keperluan yang dapat membantu memulihkan keyakinan dirinya selepas berdepan tragedi wajahnya terbakar tiga tahun lalu.

Somaya yang kini bekerja sebagai kaunselor kesihatan mental mengakui melihat bilangan wanita yang mendapatkan khidmatnya meningkat sejak Taliban mengenakan sekatan menyeluruh terhadap golongan wanita.

“Masa depan yang suram meletakkan wanita Afghanistan dalam krisis kesihatan mental yang teruk. Bagi kami, salun adalah lebih daripada tempat untuk bersolek tetapi juga membantu kami menyembunyikan kesedihan, mencari semangat dan harapan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya