STOCKHOLM: Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengakui amat bimbang dengan peningkatan permohonan untuk mengadakan demonstrasi membakar al-Quran di negara itu yang dikhuatiri akan menyemarakkan lagi api kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
SEMAKIN MENJADI-JADI
Siri serangan berterusan ke atas kitab suci al-Quran dilaporkan berlaku di Sweden dan Denmark hingga menyinggung banyak negara Islam, termasuk Turkiye, yang sudah memberikan lampu hijau kepada Stockholm untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Kristersson memberitahu agensi berita Sweden TT bahawa beberapa lagi permohonan sudah difailkan kepada polis untuk mendapatkan kebenaran mengadakan protes di mana pencemaran al-Quran sekali lagi dirancang.
“Sekiranya kebenaran diberikan, kita berdepan risiko jelas sesuatu yang serius bakal berlaku. Saya sangat bimbang tentang kesan buruk yang akan tercetus daripada tindakan itu,” katanya.
Menurut The Guardian, kerajaan Sweden berdepan kesukaran mengimbangi usaha mempertahankan undang-undang kebebasan bersuara yang meluas dan pada masa yang sama mengelak potensi penghinaan terhadap umat Islam.
Kedutaan Sweden di Baghdad diserang dan dibakar pada 20 Julai lalu oleh penunjuk perasaan yang marah dengan demonstrasi pembakaran al-Quran yang dirancang dilaksanakan lagi di negara itu.
Bagaimanapun Kristersson berkata, keputusan untuk memberikan kebenaran melaksanakan demonstrasi itu terletak di tangan polis.
Ketua Perkhidmatan Keselamatan Sweden (SAPO), Charlotte von berkata, pihaknya mengekalkan penilaian terhadap tahap ancaman pada skala tiga walaupun terdapat reaksi yang jelas terhadap peristiwa baru-baru ini.
“Sweden sudah berubah daripada dilihat sebagai negara yang bertoleransi kepada tanah anti-Islam,” katanya kepada pemberita.
TUDUH RUSSIA
Denmark dan Sweden menyatakan kekesalan dengan insiden pembakaran al-Quran tetapi tidak boleh menghalangnya di bawah peraturan yang melindungi kebebasan bersuara.
Sweden dilihat menuduh negara lain seperti Russia yang cuba memanipulasi krisis tersebut untuk merosakkan kepentingan dan usahanya menyertai NATO.
Rabu lalu, Kristersson dan beberapa pegawai Sweden berkata, Stockholm menjadi sasaran kempen manipulasi maklumat di mana pelakon yang disokong Russia cuba merosakkan imej negara itu dengan membayangkan mereka menyokong pembakaran al-Quran.
“Pelakon yang disokong Russia menguatkan kenyataan yang tidak benar bahawa negara Sweden berada di belakang pencemaran kitab suci umat Islam itu,” kata Menteri Pertahanan, Carl-Oskar Bohlin.
Menteri Luar Sweden, Tobias Billström berkata, beliau sudah berhubung dengan kementerian luar Iran, Iraq, Algeria, Lubnan, serta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengenai krisis tersebut.
Beliau turut memaklumkan akan berbincang dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha dalam masa terdekat berhubung isu sama.
“Di sesetengah negara terdapat persepsi bahawa negara Sweden berada di belakang, atau membenarkan perkara ini. Tetapi kami tidak. Ini adalah perbuatan yang dilakukan oleh individu, tetapi mereka melakukannya dalam rangka undang-undang kebebasan bersuara.
“Kami akan membincangkan isu ini dan penting untuk menekankan bahawa ini adalah isu jangka panjang dan tidak ada pembetulan dalam kadar segera,” katanya.