Sukar dapat kerja, graduan China pilih jadi tukang cuci

Sukar dapat kerja, graduan China pilih jadi tukang cuci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Graduan di China kini dilaporkan semakin terbuka untuk meneroka peluang pekerjaan sebagai tukang cuci dan menganggapnya pilihan lebih baik selain tinggal di rumah dan terus menganggur.

Lebih 11.58 juta graduan bakal memasuki alam pekerjaan di China tahun ini, namun kadar pengangguran belia bagi kumpulan umur dari 16 hingga 24 tahun meningkat kepada jumlah tertinggi 21.3 peratus Jun lalu.

PELUANG LEBIH TERBUKA

Ekonomi China dilaporkan bergerak perlahan ke arah pemulihan pasca Covid-19 dengan perniagaan swasta dilihat masih bergelut untuk mendapatkan keyakinan.

Beijing berikrar untuk merancakkan penambahan peluang pekerjaan pada separuh kedua tahun ini, dengan salah satu langkah yang diambil melibatkan usaha menggalakkan industri perkhidmatan pembersihan menggaji golongan muda dan graduan.

Deng Jun, 21, yang diberhentikan sebuah syarikat perfileman dan televisyen di Shenzhen pada Mei lalu, mengakui terpaksa pulang ke kampung halamannya di wilayah Hunan dan kini mencuba nasib mendapatkan pekerjaan dalam industri perkhidmatan domestik.

Lelaki berkenaan yang mula bekerja pada Disember tahun lalu sebelum menamatkan pengajiannya dalam jurusan pasca pengeluaran, sedang menyelesaikan kursus latihan selama 30 hari sebelum memulakan pekerjaan dengan bayaran sekitar 2,000 yuan (RM1,267) sebulan.

Jun berkata, dia memulakan latihannya pada pukul 9.00 pagi dan tamat pada pukul 5.30 petang dengan waktu rehat selama dua jam namun hanya mendapat cuti tiga hari setiap bulan.

“Situasi pekerjaan pada tahun ini menjadi semakin pesimis. Sukar bagi kami untuk mencari pekerjaan tetap.

“Menjadi tukang cuci sememangnya sangat memenatkan, menyebabkan saya sering mengalami sakit belakang. Bagaimanapun, ia lebih baik daripada tinggal di rumah setiap hari.

“Kakitangan di syarikat saya juga terdiri daripada golongan muda dan mempunyai suasana kerja yang menggembirakan. Saya melihat potensi besar untuk pembangunannya,” katanya dipetik South China Morning Post.

SEMAKIN MENJADI PILIHAN

Yang Chunmei, 33, yang menubuhkan syarikat perkhidmatan pembersihan di wilayah Sichuan berkata, penduduk pertengahan umur menjadi tunjang utama industri tersebut tetapi kini semakin ramai golongan muda menyertainya berikutan pasaran pengguna yang luas dan permintaan yang semakin meningkat.

“Golongan muda mempunyai kelebihan keupayaan fizikal dan kemahiran komunikasi yang lebih baik, membolehkan mereka lebih memahami keperluan pelanggan berbanding golongan pertengahan umur.

“Majoriti pekerja kami kini berusia 20an dengan trend peningkatan ketara daripada generasi Z yang semakin terbuka memilih menyertai syarikat kami,” katanya.

Chunmei menegaskan, persekitaran kerja yang lebih mesra, waktu kerja fleksibel dan gaji yang mampu mencecah 8,000 yuan (RM5,072) sebulan mungkin menyebabkan populariti sebagai tukang cuci meningkat dalam kalangan golongan muda di China.

Perkara itu turut dipersetujui Penyelidik Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa, Chen Jianwei berikutan terdapat permintaan kukuh untuk perkhidmatan domestik yang boleh menyediakan lebih banyak peluang sekali gus mengurangkan tekanan sektor pekerjaan.

“Berdasarkan arah aliran transformasi struktur China, industri masa depan akan dikuasai oleh sektor perkhidmatan.

“Golongan muda boleh mengambil pekerjaan seperti ini sebagai peralihan untuk memperoleh sedikit pengalaman dan kemahiran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya