CANBERRA: Sebuah silinder logam gergasi ditemukan terdampar di sebuah pantai di Australia Barat.
Lapor The Guardian, penemuan objek misteri itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan dan polis.
Menurut polis, silinder gergasi berwarna tembaga itu ditemukan oleh penduduk tempatan pada Ahad lalu setelah terdampar di pantai berhampiran Jurien Bay.
Silinder logam itu kelihatan rosak teruk dan ditemukan dalam keadaan bersandar pada sisinya.
Polis Australia Barat mengesahkan objek itu berasal dari pesawat komersial.
Namun, mereka tidak dapat pastikan apa objek itu sebenarnya dan menganggapnya berbahaya.
Bagaimanapun, polis menerusi kenyataan memaklumkan analisis dilakukan oleh pusat kimia jabatan bomba mendapati `objek itu selamat dan buat masa ini tidak mengundang risiko kepada penduduk’.
Jelasnya, silinder gergasi itu akan dipindahkan sebaik sahaja proses mengenal pasti objek selesai.
Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti maklumat mengenai silinder gergasi itu dan meminta orang ramai untuk menjauhkan diri daripada objek tersebut.
“Langkah ini diambil untuk memastikan bukti yang diperoleh dipelihara secara baik, selain memudahkan pemeriksaan selanjutnya,” jelasnya.
Menerusi sebuah video dimuat naik dalam media sosial, silinder gergasi itu yang sebahagiannya rosak, tidak kelihatan berasal dari pesawat biasa.
Polis bagaimanapun menolak dakwaan objek itu berasal dari pesawat MH370 yang hilang pada Mac 2014.