MOSCOW: Seorang saintis dari Russia mendakwa melakukan pembedahan otak pada dirinya sendiri di ruang tamu kediamannya di Kazakhstan.
Michael Raduga mengimplan elektrod di bahagian otaknya yang dikatakan berpotensi mengawal mimpinya pada suatu hari nanti.
Michael yang tidak mempunyai sebarang kelayakan pembedahan saraf itu dilaporkan kehilangan `lebih seliter darah’ semasa menjalani prosedur berkenaan pada dirinya sendiri.
“Michael bukan doktor namun dia merupakan pengasas Pusat Penyelidikan Fasa dan organisasi yang mendakwa menyediakan panduan pemula mengenai bagaimana seseorang individu mungkin mengalami lumpuh ketika tidur, astral projection atau pengalaman luar badan.
“Dia mempunyai pengikut kultus di Russia, malah ramai pengikutnya memuji keberaniannya yang sanggup melakukan demikian untuk mencapai matlamatnya.
“Namun, pakar bedah saraf memberi amaran dia sedang melakukan sesuatu yang sangat berbahaya,” jelas laporan itu.
Michael mengakui hampir berputus asa kira-kira 30 minit selepas menjalani pembedahan itu kerana takut akan pengsan berikutan kehilangan banyak darah.
Namun, dia mendakwa berjaya menyempurnakan pembedahan itu, selain mandi dan bekerja selama 10 jam berturut-turut tanpa disedari oleh mana-mana individu.
Penyelidik itu tidak memaklumkan kepada mana-mana individu mengenai rancangannya untuk melakukan pembedahan pada dirinya sendiri.
“Sebaliknya, dia membuat persiapan itu dengan hanya menonton rakaman video pembedahan otak di laman YouTube dan melakukan eksperimen itu ke atas biri-biri,” jelas laporan itu.
Tambah laporan itu, Michael mengimplan elektrod platinum dan silikon ke dalam otaknya yang didakwa boleh mencetuskan tindakan tertentu dalam mimpi.
Dilaporkan, Michael akhirnya menjalani pembedahan untuk membuang implan itu di hospital kira-kira lima minggu selepas melakukan pembedahan sendiri.