OTTAWA: Sekumpulan saintis mengkaji populasi orca yang terancam di luar pantai barat laut Pasifik Kanada dan Amerika Syarikat (AS) mendapati spesies paus pembunuh itu mempunyai bilangan ruam atau lesi kulit banyak di sekitar badan mereka.
Para penyelidik percaya keadaan itu berlaku disebabkan keupayaan sistem imun haiwan itu yang semakin rendah untuk melawan penyakit.
Lapor The Guardian, lesi muncul sebagai tompok kelabu atau titik hitam di sekitar badan orca berkenaan.
Malah, beberapa lesi pada badan paus itu juga kelihatan seperti kulit yang bertatu.
Pengarang utama kajian, Dr. Joseph K Gaydos berkata, tompok yang muncul pada badan orca dilaporkan `meningkat secara mendadak’.
Katanya, masalah penyakit kulit itu ditemukan pada hampir 99 peratus populasi paus yang dikaji di pantai barat laut Pasifik.
“Masalah kesihatan paus itu tidak dapat dijelaskan namun hubungan antara lesi dan keupayaan sistem imun populasi haiwan terancam itu semakin membimbangkan,” jelas laporan kajian itu.
Kemunculan lesi kulit secara tidak langsung menunjukkan tanda-tanda simptom keadaan serius yang menjejaskan kesihatan spesies ikan paus itu.
Kajian itu dilakukan ketika spesies orca diancam kepupusan akibat kesan aktiviti manusia.