Russia ancam tidak lanjut perjanjian bijirin, harga makanan global mungkin naik lagi

Russia ancam tidak lanjut perjanjian bijirin, harga makanan global mungkin naik

SEORANG lelaki meneliti longgokan bijirin yang tidak terjual di gudang simpanan ladangnya di wilayah Kyiv di Ukraine.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Ancaman Russia untuk menarik diri daripada perjanjian bijirin Ukraine mencetus kebimbangan mengenai keselamatan makanan global ketika harga bahan mentah sudah melambung tinggi.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres memaklumkan sudah menghantar surat kepada Presiden Russia, Vladimir Putin minggu ini mengenai usaha melanjutkan pelaksanaan perjanjian Moscow serta cadangan untuk membolehkan Russia menjalankan transaksi kewangan global bagi penghantaran makanan dan bajanya.

KEDEGILAN MOSCOW

Namun Russia dikhuatiri tidak akan melanjutkan perjanjian berkenaan yang membenarkan bijirin dari Ukraine dihantar ke bahagian dunia yang bergelut dengan kelaparan, dengan kapal tidak lagi menuju ke pelabuhan Laut Hitam dan eksport makanan juga semakin berkurangan.

Turkiye bekerjasama dengan PBB untuk melaksanakan perjanjian musim panas lalu untuk meredakan krisis makanan global, bersama-sama dengan perjanjian berasingan dengan Russia untuk memudahkan penghantaran makanan dan bajanya.

Pegawai Russia berulang kali mengatakan mereka tidak mempunyai kepentingan untuk melanjutkan Inisiatif Bijirin Laut Hitam, yang sepatutnya diperbaharui untuk kali keempat Isnin ini.

“Masih ada masa untuk melaksanakan bahagian perjanjian yang berkaitan dengan negara kami. Setakat ini, bahagian ini belum dipenuhi.

“Pada masa ini, malangnya, kami tidak melihat sebarang alasan tertentu untuk melanjutkan perjanjian itu,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada pemberita minggu lalu.

Sementara itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata, beliau menjangkakan ikrar senjata baharu daripada sekutu Barat menjadi punca kepada masalah itu.

“Sudah dapat difahami. Russia sentiasa bertindak seperti ini, tidak menepati janjinya dan mahu menyekat koridor kemanusiaan tertentu untuk mewujudkan krisis baharu,” katanya selepas sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Lithuania.

GANGGU KITARAN BANTUAN

PBB dan negara lain sedang berusaha mengekalkan perjanjian yang rapuh itu kerana Ukraine dan Russia merupakan pembekal utama gandum, barli, minyak sayuran termasuk produk makanan lain di mana negara-negara di Afrika, Asia Barat serta sebahagian Asia bergantung kepadanya.

Penarikan diri daripada perjanjian itu Russia daripada perjanjian itu akan turut menyekat sumber bantuan Program Makanan Sedunia untuk negara yang berisiko kebuluran termasuk Somalia, Ethiopia dan Afghanistan.

Jumlah bijirin yang meninggalkan Ukraine dilaporkan sudah berkurangan selepas Russia didakwa memperlahankan pemeriksaan bersama dengan pegawai, Ukraine, PBB dan Turkiye dan enggan membenarkan lebih banyak kapal menyertai inisiatif itu.

Kementerian Infrastruktur Ukraine berkata 29 kapal sedang menunggu di perairan Turkiye kerana Rusia enggan membenarkan pemeriksaan mereka.

Purata pemeriksaan harian yang bertujuan untuk memastikan kapal hanya membawa makanan dan bukannya senjata turun mendadak daripada 11 kali pada Oktober tahun lalu kepada hanya sekitar dua kali pada Jun lalu.

CETUS KENAIKAN HARGA

Pengarah Jawatankuasa Penyelamat Afrika Timur, Shashwat Saraf berkata, indeks harga makanan bukan sahaja meningkat ketika tentera Russia memasuki Ukraine tetapi sudah melonjak lebih awal kerana pandemik Covid-19, konflik perang saudara dan kemarau.

“Perang Russia menaikkan kos untuk menghasilkan makanan termasuk tenaga, baja dan pengangkutan.

“Di negara membangun, dari Kenya ke Syria yang semakin bergantung kepada makanan import, mata wang yang semakin lemah juga mengekalkan harga tempatan yang tinggi kerana mereka membayar dalam dolar AS.

“Dengan kira-kira 80 peratus bijirin Afrika Timur dieksport dari Russia dan Ukraine, lebih 50 juta orang di seluruh Afrika Timur menghadapi kebuluran, selepas harga makanan meningkat hampir 40 peratus tahun ini,” katanya.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya