'Rasa seperti duduk di dalam ketuhar'

‘Rasa seperti duduk di dalam ketuhar’

SEORANG kanak-kanak minum air selepas diselamatkan daripada kebakaran hutan berhampiran perkampungan Agios Charalampos di Athens, Greece.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PHOENIX: Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) memberi amaran risiko kematian dijangka meningkat ketika cuaca panas melampau terus melanda benua Eropah, Amerika dan Asia.

CUACA EKSTREM AS

Rakyat Amerika Syarikat (AS) berdepan cuaca panas terik dari Texas ke California Selatan dan keadaan diburukkan dengan masalah jerebu yang menyelubungi kawasan barat negara itu ekoran kebakaran hutan di Kanada.

Bandar barat daya Phoenix di Arizona mencatatkan paras suhu tertinggi harian melebihi 43 darjah Celsius selama 19 hari berturut-turut sekali gus melepasi rekod yang pernah didaftarkan sebelum ini.

“Keadaan yang dirasakan di sini sama seperti anda membakar biskut atau sesuatu dan anda membuka pintu ketuhar, haba panasnya terus singgah di muka anda,” kata pelawat di Taman Papago Phoenix, Amit Ghagoji.

Pakar Meteorologi Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Phoenix, Tom Frieders berkata, suhu tinggi serantau antara 46 darjah Celsius dan 48.9 darjah Celsius mungkin akan berterusan selama lima hingga tujuh hari lagi.

EROPAH MEMBAHANG

Dianggarkan lebih 61,000 kes kematian direkodkan akibat belenggu gelombang haba di Eropah sepanjang tahun lalu.

WMO berkata, gelombang haba di hemisfera utara dijangka terus meningkat dan menjejaskan kemuncak aktiviti pelancongan musim panas di Eropah yang dilanda suhu panas membakar sejak beberapa minggu lalu.

Pusat penyelarasan tindak balas kecemasan Kesatuan Eropah (EU) mengeluarkan amaran merah suhu tinggi bagi kebanyakan bandar di Itali, timur laut Sepanyol, Croatia, Serbia, selatan Bosnia dan Herzegovina serta Montenegro.

Di Itali, ratusan pelancong dilihat cuba menyejukkan badan dengan percikan air pancut di Rom dan berdiri di bawah kipas gergasi yang dipasang di luar Colosseum ketika kementerian kesihatan mengeluarkan amaran cuaca merah di 23 bandar utama negara itu.

Ada yang terpaksa beratur selama lebih sejam dalam keadaan panas terik mencecah suhu 40 darjah Celsius di luar stesen kereta api pusat di Rom akibat masalah kekurangan teksi yang kronik di ibu negara.

Seorang pelancong, Anita Elshoy berkata, dia dan suaminya terpaksa pulang ke Norway dari tempat percutian mereka di kawasan perkampungan Vasanello di utara Rom, seminggu lebih awal daripada yang dirancang akibat cuaca yang membahang.

“Saya mengalami banyak kesakitan di kepala. Malah, kaki dan jari saya membengkak hingga saya menjadi semakin pening dan sukar bergerak ketika bercuti di sana,” kata Elshoy.

KEBAKARAN HUTAN

Di Greece, pihak berkuasa mengarahkan penduduk yang tinggal berhampiran dengan kebakaran hutan di Dervenochoria, utara Athens untuk menutup pintu dan tingkap apabila asap menghampiri.

Seorang penduduk, Giorgos Nikolau, 89, turut berkongsi detik cemas dia melarikan diri dengan hanya berseluar renang dan memakai kemeja-T selepas rumahnya yang didiami selama 32 tahun di Ano Lagonissi hangus dijilat api.

“Saya tidak mempunyai apa-apa lagi, malah tidak mempunyai kasut lain. Saya hanya sempat keluar sehelai sepinggang kerana semuanya sudah musnah,” katanya.

Gelombang haba musim panas ini menyaksikan suhu meningkat kepada 53 darjah Celsius di Death Valley California dan lebih 52 darjah Celsius di barat laut China.

Kebakaran hutan dari Greece ke Pergunungan Alps Switzerland dan banjir besar di India serta Korea Selatan meningkatkan keperluan mendesak untuk rundingan minggu ini antara AS dan China yang digelar pencemar gas rumah hijau tertinggi dunia.

Pengarah Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Eropah, Hans Henri P Kluge berkata, dunia perlu melihat ke hadapan sambil menyesuaikan diri dengan realiti baharu gelombang haba pembunuh dan cuaca ekstrem lain.

“Terdapat keperluan mendesak dan sangat penting terhadap tindakan serantau dan global bagi menangani krisis iklim secara berkesan yang kini sudah mula menimbulkan ancaman kepada umat manusia,” kata Kluge.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya