BANGKOK: Ribuan rakyat Thailand meluahkan kekecewaan dalam bantahan aman selepas suara dan pilihan mereka dalam pilihan raya umum (PRU) Mei lalu seakan tidak didengari tentera yang masih mengawal kerajaan.
Walaupun jelas Parti Move Forward (MFP) memiliki majoriti dalam sistem demokrasi tersebut, Pemimpinnya, Pita Limjaroenrat masih disekat daripada mentadbir kerajaan apabila Mahkamah Perlembagaan Thailand memerintahkan keahliannya sebagai Ahli Parlimen digantung sementara.
LANCAR BANTAHAN
Menurut Bangkok Post, ribuan penyokong yang berhimpun berhampiran Parlimen kemudian dilihat menuju ke Monumen Demokrasi untuk menyertai bantahan selepas keputusan berkenaan diumumkan.
Penyokong parti MFP dilihat membalut kain rentang besar yang tertulis ‘Perdana Menteri Pita Permuafakatan Rakyat’ di sekeliling monumen itu.
Pemimpin Pergerakan Demokrasi, Somyos Pruksakasemsuk, menggesa penunjuk perasaan untuk menguatkan sokongan penuh mereka terhadap Pita dan mengkritik sikap diktator kerajaan kerana memusnahkan hak serta kebebasan rakyat.
Katanya, harapan rakyat untuk melihat MFP dan Parti Pheu Thai yang memperoleh 25 juta undi membentuk kerajaan kian pudar malah parti yang memperoleh majoriti besar dalam pilihan raya itu mungkin akan dipaksa duduk di kem pembangkang.
“Mahkamah Perlembagaan dilihat seakan menjadi mekanisme untuk membunuh kerajaan yang datang daripada sistem demokrasi. Bagaimanapun, mereka yang melakukan rampasan kuasa masih berjalan bebas.
“Mulai sekarang, kita perlu terus berjuang dalam semua bentuk, mengetuk pintu rumah senator atau membunyikan loceng di rumah mereka untuk mengingatkan mereka supaya berterima kasih kepada tanah air dengan membuka lembaran baharu.
“Bantahan ini bukan mengenai MFP sahaja tetapi ia mengenai orang yang membuang undi pada PRU 14 Mei lalu. Kita mesti berganding bahu untuk mengambil langkah menentang apa yang dipanggil organisasi bebas dan tangan ghaib,” tegasnya.
DEMOKRASI DIPERSENDA
Ramai penunjuk perasaan turut mengutuk tindakan senator dilantik junta yang menghalang pencalonan Pita sebagai Perdana Menteri dan perintah penggantungan sebagai ahli Parlimen oleh Mahkamah Perlembagaan disifatkan tidak menusabah.
“Saya rasa marah. Mereka tidak menghormati kehendak rakyat. Mereka tidak mendengar suara 14 juta orang yang sudah membuat pilihan,” kata penunjuk perasaan Wilasini Sakaew, 21.
Wartawan Al Jazeera, Florence Looi yang melaporkan dari Bangkok berkata, ramai yang menyatakan kemarahan terhadap apa yang mereka lihat sebagai percubaan oleh elemen pro-tentera untuk menghalang Pita daripada mengetuai kepimpinan negara itu.
“Saya sangat kecewa, kami melaluinya empat tahun lalu, negara tidak ke mana dan demokrasi masih disalahgunakan. Apa gunanya mengadakan pilihan raya jika begini kesudahannya,” kata seorang lagi penunjuk perasaan.
Peguam Hak Asasi Manusia Anon Nampa dan aktivis pro-demokrasi lain turut menggesa penunjuk perasaan menjadi saksi bagi memastikan Parti Pheu Thai menyokong MFP dan tidak mengkhianati orang ramai dengan bergabung bersama parti lain yang kini menjadi pembangkang.
Kumpulan itu dilaporkan menggariskan tiga tuntutan agar senator meletakkan jawatan, menyeru lapan parti dalam gabungan itu bersatu dengan erat selain minta gabungan berkenaan tidak meninggalkan cadangan dasar yang dijanjikan kepada rakyat.
Mahkamah Perlembagaan kelmarin menggantung ketua MFP daripada menjalankan tugas sebagai ahli Parlimen kerana pegangan sahamnya dalam syarikat media iTV.
Ekoran penggantungan itu, sesi untuk memilih Perdana Menteri Thailand ke-30 dijadualkan semula pada 27 Julai ini.