LONDON: Satu kaji selidik mendapati ramai penduduk Britain mahu pelajar diajar teknik kemahiran hidup berbanding pelajaran biasa di sekolah yang boleh digunakan ketika waktu kecemasan.
Antara teknik kemahiran hidup itu terdiri daripada menukar tayar kenderaan atau memohon pinjaman gadai janji.
Lapor Daily Mail, lebih separuh penduduk Britain mengakui pelajaran dan kemahiran yang dipelajari di sekolah ketika ini tidak membantu mereka dalam kehidupan sebenar.
Malah, menurut mereka, empat perkara dipelajari di sekolah iaitu algebra, teorem Pythagoras dengan menggunakan penunu Bunsen dan cara merejam lembing dikatakan tidak membantu langsung.
“Belajar karya William Shakespeare, membedah haiwan dan membaca jadual berkala juga dianggap tidak berguna,” jelas laporan itu.
Kira-kira sembilan daripada 10 warga Britain yang ditinjau berpandangan pelajar akan mendapat manfaat daripada diajar mengenai cara membeli rumah, pencen swasta, membayar bil rumah dan memulakan perniagaan.
Antara topik yang dikatakan `hilang’ daripada kurikulum adalah pelajaran mengenai cara membuka akaun simpanan, membayar cukai, mengendalikan insurans rumah dan menukar tayar pancit.
Hampir tiga perempat rakyat Britain mengakui mereka bergantung kepada ahli keluarga atau kenalan rapat lain untuk mengajar mereka mengenai teknik kemahiran hidup yang penting.
Lebih satu pertiga warga Britain mendakwa tidak pernah menggunakan pelajaran mahupun teknik dipelajari di sekolah dalam kehidupan seharian mereka.
Kaji selidik dilakukan oleh penyelidik pasaran Censuswide dan platform dalam talian, Quizlet menganalisis 2,000 individu dewasa di negara itu.