Putin cuba ‘pancing’ benua Afrika jadi sekutu - Utusan Malaysia

Putin cuba ‘pancing’ benua Afrika jadi sekutu

VLADIMIR Putin bersalaman dengan pemimpin dan ketua delegasi benua Afrika pada sidang kemuncak Rusia-Afrika di Saint Petersburg.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin didakwa cuba memancing sokongan pemimpin benua Afrika untuk menjadi sekutunya melalui tawaran bekalan bijiran dan penghapusan hutang selain menggalakkan perjuangan bersama menentang neokolonialisme semasa sidang kemuncak di St Petersburg kelmarin. 

Putin dilaporkan menghadiri sidang kemuncak Russia-Afrika selama dua hari bermula Khamis lalu yang turut dilihat sebagai medan menguji sokongan yang diterima Moscow di benua Afrika walaupun berdepan penolakan antarabangsa berikutan peperangan di Ukraine.

“Perhatian Russia terhadap benua Afrika semakin berkembang. Afrika adalah pusat kuasa baharu. 

“Peranan politik dan ekonominya berkembang dengan pesat. Semua orang perlu mengambil kira realiti ini,” kata Putin ketika berucap pada sesi akhir sidang kemuncak itu.

Lapor Al Jazeera, Putin menjanjikan bijirin percuma kepada enam negara benua Afrika dan memberi jaminan bahawa Moscow akan berusaha menghalang krisis makanan global seminggu selepas menarik diri daripada perjanjian membenarkan Ukraine mengeksport produk ladangnya merentasi Laut Hitam.

Pemimpin Russia itu juga menyebut tentang kesepakatan bersama untuk menentang neokolonialisme, amalan menggunakan sekatan tidak sah dan percubaan untuk menjejaskan nilai moral tradisional di benua itu.

Wakil 49 negara, termasuk 17 ketua negara menghadiri sidang kemuncak di bandar Russia itu.

Semua pemimpin berkenaan menandatangani deklarasi bersama yang menyeru penubuhan dunia multipolar yang lebih adil, seimbang dan stabil termasuk menentang dengan tegas semua jenis konfrontasi antarabangsa di benua Afrika.

Russia turut merancang untuk membina kawasan perindustrian dan kilang serta meningkatkan misi diplomatik di benua itu.

Putin berkata, para pemimpin benua itu juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam bantuan, tenaga dan perdagangan, termasuk melalui pertukaran secara konsisten kepada mata wang negara bagi transaksi komersial.

Pemimpin Rusia itu juga berjanji untuk membantu negara-negara Afrika mendapatkan pampasan bagi kerosakan yang dilakukan oleh pemerintahan kolonial serta pemulihan khazanah budaya yang dirompak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya