Pusat asuhan di Masjidilharam bantu ibu bapa lebih khusyuk jalani ibadah - Utusan Malaysia

Pusat asuhan di Masjidilharam bantu ibu bapa lebih khusyuk jalani ibadah

JEMAAH tidak perlu gusar membawa anak-anak ke tanah suci melalui pembukaan pusat asuhan kanak-kanak di Masjidilharam.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Jemaah yang beribadah di Mekah tidak lagi gusar membawa anak-anak mereka ke tanah suci selepas pusat asuhan kanak-kanak pertama dibuka di perkarangan Masjidilharam tahun ini.

Bagi sesetengah jemaah, membawa zuriat bersama adalah satu langkah penting untuk mendedahkan anak-anak tentang amalan agama sejak kecil lagi selain menghadiahkan pengalaman istimewa untuk dikongsi bersama.

Dengan hampir dua juta jemaah bersesak di tanah suci, situasi itu mencabar ibu bapa dan pihak pengurusan keselamatan bagi mewujudkan persekitaran yang selesa untuk kanak-kanak.

Lapor Arab News, inisiatif  pembukaan pusat asuhan kanak-kanak dilancarkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Dua Masjid Suci dengan pembiayaan daripada semua sektor kerajaan dan keselamatan yang beroperasi di lokasi berkenaan.

Pusat asuhan itu pertama kali dibuka pada Ramadan lalu bagi menempatkan anak-anak jemaah ketika mereka menyempurnakan rukun ibadah haji dan umrah.

Pusat berkenaan menawarkan perkhidmatan 24 jam bagi membantu jemaah melakukan ibadah dengan selesa dan tenang tanpa merasa gusar tentang keselamatan anak-anak mereka yang dibawa bersama. 

Pusat itu meliputi tiga bilik dengan setiap satu mengandungi permainan untuk pelbagai peringkat umur dan jemaah boleh meninggalkan anak-anak mereka selama tiga jam secara percuma.

Bilik-bilik tersebut menyediakan ruang yang selamat untuk kanak-kanak menunggu sementara ibu bapa atau ahli keluarga mereka menyelesaikan ibadah haji atau umrah.

Perunding perubatan keluarga di Dammam, Amal Salama berkata, lokasi selamat untuk meninggalkan anak-anak sangat penting bagi membantu golongan ibu bapa lebih khusyuk untuk beribadah.

“Bagi sesetengah orang, meninggalkan anak-anak bukanlah satu pilihan, kerana mereka mungkin tidak mempunyai keluarga atau penjaga yang dipercayai.

“Saya tidak mengesyorkan ibu bapa membawa anak-anak mereka bersama ketika menunaikan haji  kerana perlu berjalan dalam jarak yang jauh. Kerenah anak-anak juga  juga kadangkala boleh mengalih perhatian ibu bapa daripada menumpukan pada usaha melaksanakanibadah mereka.

“Justeru ibu bapa harus meninggalkan anak-anak mereka di tempat yang selamat seperti ini  kerana peluang untuk berada di Mekah dan menunaikan haji bukan sesuatu yang mudah diperolehi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya