BERLIN: Polis sedang mencari seekor singa betina yang dilaporkan terlepas di kawasan kejiranan di pinggir barat daya Berlin.
Sebuah video yang disiarkan di Twitter menunjukkan seekor singa betina di dalam hutan di kawasan Kleinmachnow.
Penduduk yang tinggal berhampiran perkampungan Brandenburg sudah dimaklumkan tentang ancaman haiwan itu dan diarahkan untuk duduk di dalam rumah ketika polis melakukan misi pencarian.
Penduduk juga dinasihatkan supaya mengunci haiwan peliharaan mereka di dalam sangkar.
Zoo tempatan, pusat perlindungan haiwan dan sarkas berkata, tiada singa yang melarikan diri dari kemudahan mereka.
“Kami tidak tahu dari mana haiwan ini datang,” kata jurucakap polis kepada media tempatan.
Seorang saksi memberitahu polis mereka melihat singa berkenaan mengejar seekor babi hutan.
Helikopter turut dikerahkan bersama doktor haiwan dan pemburu membawa senjata penenang untuk membantu polis dalam misi pencarian haiwan itu.
Akhbar tabloid Jerman Bild berkata, pihak berkuasa berharap untuk menangkapnya dengan cara yang lebih berperikemanusiaan.