KHARTOUM: Sembilan orang termasuk empat anggota tentera terkorban apabila sebuah pesawat terhempas di bandar pesisir pantai Port Sudan, timur Sudan.
Tentera Sudan menerusi kenyataan mengesahkan pesawat awam itu terhempas di Lapangan Terbang Port Sudan akibat masalah teknikal.
Jelas kenyataan itu, seorang kanak-kanak perempuan terselamat dalam nahas itu.
“Pesawat Antonov itu gagal berfungsi dengan baik semasa berlepas dan sebelum terhempas.
“Pesawat Antonov awam itu terhempas di Lapangan Terbang Port Sudan sehingga menyebabkan sembilan orang maut termasuk empat anggota tentera,” jelas kenyataan tersebut.
Port Sudan merupakan antara bandar yang berada di bawah kawalan tentera Sudan sejak perang meletus di negara itu pada 15 April lalu.
Nahas pesawat itu berlaku selepas lebih tiga bulan pertempuran antara pasukan tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum dan wilayah lain di barat Sudan.
Ribuan penduduk terbunuh dan berjuta-juta lagi kehilangan tempat tinggal sejak perang meletus di Sudan yang sebelum ini dibelenggu pertempuran puak dan krisis ekonomi. – AGENSI ANADOLU/REUTERS