SEOUL: Korea Utara menegaskan penempatan kapal pengangkut pesawat, pengebom atau kapal selam peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan boleh ditakrifkan sebagai ‘penggunaan’ senjata nuklear.
Menteri Pertahanan negara itu, Kang Sun-nam, yang dipetik media kerajaan KCNA, berkata perbuatan itu memenuhi kriteria ‘penggunaan’ senjata nuklear.
Komen terbabit dibuat ketika pihak terbabit meningkatkan paparan kekuatan tentera di tengah kebuntuan mengenai kawalan senjata nuklear dan program peluru berpandu balistik negara terpencil itu.
Sun-nam juga menuduh AS dan Korea Selatan meningkatkan ketegangan di rantau itu sambil mengkritik pertemuan pertama oleh Kumpulan Perundingan Nuklear (NCG) mereka.
“Peningkatan penempatan kapal selam nuklear strategik dan aset strategik lain mungkin berada di bawah syarat penggunaan senjata nuklear yang dinyatakan dalam undang-undang Korea Utara,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan Sun-nam itu merujuk kepada kapal selam senjata nuklear kelas Ohio iaitu kapal selam AS dilengkapi peluru berpandu balistik, yang tiba di sebuah pelabuhan di bandar selatan Busan awal minggu ini.
“Fasa pertempuran tentera di Semenanjung Korea dikhuatiri menjadi kenyataan,” menurut laporan KCNA.
Kementerian Pertahanan Negara Korea Selatan berkata, mesyuarat NCG dan penempatan USS Kentucky adalah sekadar tindak balas pertahanan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
“Korea Utara tidak akan mendapat konsesi daripada sekutu Korea Selatan-AS untuk pembangunan nuklear dan ancamannya hanya akan membawa kepada pengasingan dan kesukaran yang semakin teruk,” kata Kementerian Negara Korea Selatan dalam kenyataan.
Tahun lalu, negara inklusif itu menyeragamkan undang-undang nuklear baharu yang luas mengisytiharkan statusnya sebagai negara bersenjata nuklear yang ‘tidak boleh ditarik balik’. – REUTERS