HONG KONG: Penyanyi Amerika Syarikat (AS) kelahiran Hong Kong, Coco Lee meninggal dunia pada usia 48 tahun, hari ini.
Menerusi satu catatan dalam media sosial, kakaknya Nancy Lee berkata, penyanyi popular itu yang mengalami masalah kemurungan, meninggal dunia selepas tiga hari berada dalam keadaan koma.
“Dengan kesedihan yang mendalam, kami di sini menyampaikan berita paling menyedihkan. Coco bertarung dengan masalah kemurungan selama beberapa tahun tetapi keadaannya merosot secara drastik sejak beberapa bulan lalu.
“Walaupun Coco mendapatkan bantuan profesional dan melakukan yang terbaik untuk melawan kemurungan, malangnya dia tidak berjaya.
“Pada 2 Julai, dia cuba membunuh diri di rumah dan dihantar ke hospital. Walaupun pasukan perubatan berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan, Coco meninggal dunia pada 5 Julai 2023,” tulis Nancy.
Kerjaya bintang itu bermula di negara kelahirannya, Hong Kong, sebelum melebarkan sayap ke Taiwan.
Beliau antara bintang pop Asia terawal mencipta nama di AS apabila singlenya, “Do You Want My Love” berjaya memasuki carta muzik negara itu.
Lee juga dipilih Walt Disney Pictures untuk menyanyikan satu vdaripada ersi lagu tema filem Mulan, ‘Reflection’, selain turut menjadi pelakon suara watak Fa Mulan versi Mandarin.
Dalam Anugerah Akademi ke 72, Lee dijemput mempersembahkan salah satu calon kategori Lagu Asal Terbaik, “A Love Before Time” yang dipetik daripada filem Crouching Tiger, Hidden Dragon.