PARIS: Seorang penumpang pesawat Air France terkejut apabila dia mendapati permaidani yang diletakkan di bawah kakinya basah dengan darah.
Habib Battah yang merupakan seorang wartawan menaiki penerbangan dari Paris Ke Toronto pada 30 Jun lalu apabila dia mula terhidu bau yang kurang menyenangkan dari bahagian bawah tempat duduknya.
“Saya asyik terhidu bau yang kurang menyenangkan, namun tidak pasti ia datang dari mana sehinggalah saya bangun dan melihat ke bahagian bawah tempat duduk.
“Saya dapat melihat dengan jelas permaidani di bawah tempat duduk itu basah dengan kesan kotoran yang besar, selain berbau seperti najis.
“Saya memberitahu kepada kru kabin dan mereka memberikan saya sarung tangan serta tisu basah untuk mengelap kesan kotoran itu,” katanya.
Jelas Habib, kru kabin memaklumkan kepadanya bahawa seorang penumpang dalam penerbangan sebelum itu mengalami pendarahan akibat masalah kesihatan.
“Kru kabin memberitahu, petugas pembersihan sudah mengelap kesan kotoran pada tempat duduk, namun mereka mungkin terlupa untuk membersihkan permaidani dibawahnya.
“Disebabkan penerbangan itu penuh, saya tidak dapat menukar tempat duduk dan terpaksa menahan bau busuk itu selama tujuh jam,” ujar Habib.
Dalam pada itu, Air France mengesahkan seorang penumpang mengalami pendarahan di dalam pesawatnya pada 29 Jun lalu ketika menaiki penerbangan dari Paris ke Boston.