LONDON: Ribuan pelajar universiti di United Kingdom (UK) tidak menerima gred mereka malah ada yang gagal melangkah ke majlis graduasi pada musim panas ini berikutan boikot pemberian markah oleh kakitangan dan pensyarah sejak April lalu yang menjejaskan banyak peperiksaan dan proses penilaian.
AHLI UCU LANCAR BOIKOT
Boikot itu merupakan sebahagian daripada tindakan yang diambil oleh ahli Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) melibatkan 145 institusi di UK.
Setiausaha Agung UCU, Jo Grady berkata, boikot berkenaan bermula pada 20 April dan akan berterusan sehingga pihak universiti membuat tawaran gaji dan syarat yang lebih baik kepada pensyarah dan kakitangannya.
Grady berkata, UCU bertemu dengan Majlis Pentadbiran Pendidikan Universiti (UCEA) minggu lalu dalam usaha menamatkan protes tersebut di seluruh universiti di UK dan menyelesaikan pertikaian berpanjangan mengenai gaji serta syarat kerja.
Namun jelasnya, UCEA enggan membentangkan tawaran gaji lebih baik atau memberikan sebarang ganti rugi untuk ahli yang dikenakan potongan gaji punitif.
Tindakan itu menyebabkan UCU memutuskan untuk meneruskan boikot pemarkahan kepada pelajar
“UCEA kini mempunyai pilihan, mendengar permintaan sederhana kakitangan dan pelajar serta bekerjasama dengan kami untuk menamatkan boikot pemarkahan atau membiarkan gangguan berterusan hingga ke tahun akademik seterusnya,” kata Grady.
PELAJAR JADI MANGSA
Boikot berkenaan didakwa menjejaskan lebih 500,000 pelajar dari dalam dan luar negara yang akan menamatkan pengajian mereka musim panas ini.
Lapor BBC, Universiti Queen Mary London terpaksa menangguhkan majlis graduasi pelajar jurusan bahasa Inggeris dan drama kerana ketiadaan markah yang direkodkan pada semester ini.
Malah, kakitangan universiti itu berkata, sehingga kini mereka masih belum dapat menentukan tarikh markah untuk pelajar akan tersedia.
Universiti Cambridge turut mengesahkan pelajar tidak akan dapat menamatkan pengajian sehingga semua kerja mereka ditanda oleh pensyarah.
Masalah itu menjejaskan sebahagian besar daripada 4,500 pelajar yang dijangka menamatkan pengajian tahun ini.
Sementara itu, lebih 2,000 pelajar di Universiti Edinburgh akan menamatkan pengajian tanpa mengetahui markah akhir mereka.
Universiti Durham pula mengumumkan, kira-kira 20 peratus pelajar peringkat ijazah berdepan kelewatan menerima markah dan keputusan akhir mereka berikutan boikot yang dijalankan pensyarah dan kakitangannya.
Pelajar di King’s College London turut dilaporkan terjejas apabila terdapat pelajar peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dari luar negara yang diminta menangguhkan pengajian akibat masalah serupa.
Bagaimanapun terdapat beberapa universiti yang membenarkan pelajar meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya menggunakan gred yang diramalkan atau markah daripada penilaian lain.
Guru pelatih akan dibenarkan memulakan kursus pasca siswazah mereka walaupun masih belum menerima keputusan ijazah di bawah rancangan sementara yang diumumkan oleh Jabatan Pendidikan.-AGENSI