Penganggur menyamar jadi polis trafik selama 2 bulan - Utusan Malaysia

Penganggur menyamar jadi polis trafik selama 2 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Seorang penganggur merealisasikan impiannya untuk menjadi polis trafik dengan mengenakan pakaian seragam yang palsu dan melakukan rondaan bersama anggota penguat kuasa sebenar selama dua bulan.

Gara-gara bosan duduk sepanjang hari, Viktor dari wilayah Stravropol, Russia membeli pakaian seragam polis trafik yang kelihatan realistik untuk dirinya sendiri.

Lelaki berusia 48 tahun itu kemudian menyertai barisan pengawai penguat kuasa undang-undang itu bekerja di pekan Pyatigorsky.

“Dengan mengenakan pakaian seragam polis trafik dan berbekalkan kemahiran lakonan hebat dan keyakinan diri, Viktor melakukan rondaan di sekitar jalanan di Pyatigorsky.

“Dia juga menahan pemandu yang cuai dan mendidik mereka mengenai pelbagai peraturan lalu lintas,” jelas Oddity Central.

Tidak dapat dipastikan mengapa Viktor memilih profesion tersebut atau sama ada dia menerima rasuah daripada pemandu ketika melakukan kerja berkenaan atau sebaliknya.

Bagaimanapun, penyamaran lelaki itu terbongkar dua bulan selepas itu, hasil semakan dari rakaman kamera badan polis trafik yang sedang melakukan rondaan di Jalan Pervomaiskaya di Pyatigorsky.

Pihak berkuasa menyedari ada lima anggota bertugas, walaupun hanya empat sahaja anggota yang direkodkan bertugas dalam rekod rasmi.

Ketika cuba mengenal pasti polis trafik yang kelima, mereka mendapati individu itu bukan anggota polis sebenar.

Siasatan menunjukkan Viktor membuat rondaan bersama empat anggota polis trafik sebenar sekurang-kurangnya lima kali sejak Mei lalu.

Malah, tiada seorang pun daripada anggota berkenaan melaporkan sesuatu yang pelik mengenainya.

Viktor mengaku menyamar sebagai anggota polis dan didakwa dengan kesalahan lalu lintas, pemakaian pakaian seragam rasmi secara salah dan menghalang tugas polis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya