Pemanis tiruan mungkin boleh sebabkan kanser kepada manusia - Utusan Malaysia

Pemanis tiruan mungkin boleh sebabkan kanser kepada manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kini mengklasifikasikan pemanis tiruan, aspartam sebagai ‘kemungkinan karsinogenik kepada manusia’ walaupun tahap pengambilan harian yang boleh diterima kekal tidak berubah.

Pengarah Pemakanan dan Keselamatan Makanan WHO, Francesco Branca, berkata agensinya bagaimanapun tidak menasihati syarikat untuk menarik balik produk dan tidak menasihati pengguna untuk berhenti mengambilnya.

“Kami hanya menasihati pengambilan secara sederhana, tetapi perlu menjelaskan dalam banyak keadaan,” katanya pada sidang akhbar mengenai penemuan dua ulasan bukti yang sudah diperoleh mengenai aspartam.

Terdahulu, pada 6 hingga 13 Jun lalu, Agensi Antarabangsa bagi Penyelidikan Kanser (IARC) WHO menjalankan penilaian pertamanya terhadap tahap karsinogenan aspartam di Lyon, Perancis.

Mary Schubauer-Berigan dari IARC berkata, bukti terhad untuk menentukan penyebab kanser hati itu datang daripada tiga kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat (AS) dan merentasi 10 negara Eropah.

“Ini adalah satu-satunya kajian epidemiologi yang mengkaji kanser hati,” katanya.

Sementara itu, Profesor Epidemiologi Kanser di Pusat Perubatan Cedars-Sinai, Los Angeles, Paul Pharoah, berkata kategori Kumpulan 2B juga mengandungi ekstrak aloe vera dan asid kafeik yang terdapat dalam teh dan kopi.

“Orang awam tidak seharusnya bimbang mengenai risiko kanser yang dikaitkan dengan bahan kimia yang dikelaskan sebagai Kumpulan 2B,” katanya.

Kemudian, kumpulan kedua, Jawatankuasa Pakar Bersama mengenai Aditif Makanan (JECFA) yang dibentuk oleh WHO dan rakan agensi PBB iaitu Pertubuhan Makanan dan Pertanian bertemu di Geneva dari 27 Jun hingga 6 Julai untuk menilai risiko yang berkaitan dengan aspartam.

Ia menyimpulkan bahawa data yang dinilai menunjukkan tiada sebab untuk menukar pengambilan harian yang boleh diterima iaitu daripada sifar hingga 40 miligram aspartam bagi setiap kilogram berat badan.

Dengan setin minuman ringan tanpa gula yang biasanya mengandungi 200 atau 300 miligram (mg) pemanis aspartam, orang dewasa dengan berat 70 kilogram boleh mengambil lebih daripada sembilan hingga 14 tin sehari.

Bagaimanapun, kebimbangan lebih menjurus kepada pengguna yang kerap mengambil minuman soda.

Aspartame ialah pemanis berasaskan bahan kimia yang digunakan secara meluas dalam pembuatan pelbagai makanan dan minuman sejak 1980.

Ia ditemui dalam minuman diet, gula-gula getah, gelatin, air krim, produk tenusu, dadih, ubat gigi, ubat batuk dan ubat vitamin yang dikunyah.

Persatuan Pemanis Antarabangsa (ISA) berkata, di bawah klasifikasi itu, ia juga menyenaraikan aspartam dalam kategori yang sama seperti kimchi dan sayur-sayuran jeruk yang lain. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN