HANOI: Kerajaan Vietnam mengharamkan penayangan filem Barbie keluaran Warner Bros di semua pawagam di negara itu.
Tindakan itu berikutan babak dalam filem komedi fantasi yang memaparkan peta menunjukkan wilayah dituntut secara unilateral oleh China di Laut China Selatan.
Lapor The Guardian, Nine Dash Line atau Sembilan Garis Putus berbentuk U digunakan pada peta China untuk menggambarkan tuntutan negara itu ke atas kawasan luas di Laut China Selatan.
Ia termasuk kawasan yang dianggap Vietnam sebagai pelantar benuanya yang mana memberikan konsesi minyak.
Barbie merupakan filem terbaharu yang diharamkan di Vietnam kerana menggambarkan Sembilan Garis Putus China, yang ditolak dalam keputusan timbang tara antarabangsa oleh mahkamah The Hague pada 2016.
Bagaimanapun, China enggan mengiktiraf keputusan mahkamah itu.
Pada 2019, kerajaan Vietnam menarik semula tayangan filem animasi, Abominable keluaran DreamWorks.
Malah, pada tahun lalu, Vietnam juga mengharamkan filem aksi Uncharted atas sebab yang sama.
Berdasarkan laporan akhbar Tuoi Tre, filem Barbie yang dibintangi oleh Margot Robbie dan Ryan Gosling, dijadualkan untuk tayangan di seluruh Vietnam pada 21 Julai depan.
“Kami tidak membenarkan filem Barbie ditayangkan di Vietnam kerana ia mengandungi imej mengenai `Sembilan Garis Putus’ itu,” kata Ketua Pengarah Jabatan Pawagam, Vi Kien Thanh.
Vietnam dan China sudah lama mempunyai pertikaian tuntutan wilayah yang bertindih terhadap kawasan berpotensi kaya tenaga di Laut China Selatan.
Negara Asia Tenggara itu berulang kali menuduh kapal China melanggar kedaulatan negaranya.