TOKYO: Pengeluar kereta Nissan mengumumkan penarikan balik lebih 600,000 unit kenderaan di Jepun susulan pelbagai masalah dialami.
Masalah itu turut menjejaskan lebih 700,000 unit kenderaan jenama itu di luar negara.
Menurut jurucakap pengeluar kereta Jepun itu, penarikan balik kenderaan tersebut melibatkan lima model iaitu Note, Note Aura, Serena, Leaf dan Kicks.
Bagaimanapun, jelasnya, masalah dikesan dalam lima model terbabit tidak menyebabkan sebarang kemalangan.
“Sebanyak 699,000 unit kenderaan terjejas di negara itu, dengan kebanyakannya dikesan mempunyai lebih daripada satu kerosakan,” katanya.
Sementara itu, syarikat Nissan menerusi kenyataan menyatakan penarikan balik kenderaan di Jepun merangkumi sebanyak 484,025 unit model Note, Serena dan Kicks disebabkan kerosakan pada penutup hos enjin yang boleh menyebabkan hos retak serta menghalang kenderaan daripada dihidupkan.
Jelas syarikat itu, sebanyak 478,199 kenderaan termasuk model Note, Note Aura, Serena, Leaf dan Kicks ditarik semula kerana mengalami masalah pada program kawalan kenderaan yang mana dalam keadaan tertentu boleh menyebabkan pecutan selepas sistem itu dihentikan.
Sebanyak 126,000 unit Serena ditarik balik setelah dikesan masalah pendawaian, manakala 6,434 unit lagi model yang sama mempunyai masalah pada lampu depan kanan.
“Sekurang-kurangnya 749,000 kenderaan di pasaran luar negara turut terjejas.
“Penarikan semula kenderaan itu akan dikendalikan secara berasingan berdasarjan peraturan tempatan,” kata jurucakap itu. – AFP