WASHINGTON: Kira-kira 735 juta orang di seluruh dunia berdepan kebuluran kronik sepanjang tahun lalu yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum pandemik Covid-19, sekali gus mengancam kemajuan ke arah matlamat global untuk menamatkan masalah berkenaan menjelang 2030.
Berdasarkan laporan terkini Keselamatan Makanan dan Nutrisi Dunia (SOFI) yang dibuat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), aliran kadar kebuluran mendatar tahun lepas apabila banyak negara pulih dari segi ekonomi daripada wabak Covid-19.
Tetapi perang di Ukraine serta tekanannya terhadap harga makanan dan tenaga mengimbangi beberapa keuntungan itu.
Menurut laporan itu, dianggarkan tambahan 122 juta penduduk mengalami kebuluran pada 2022 berbanding 2019 dan dunia jauh tersasar dari landasan untuk memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan PBB untuk menamatkan kebuluran menjelang 2030.
Laporan itu turut mengunjurkan bahawa 600 juta orang akan menghadapi masalah kekurangan zat pada tahun 2030.
Jelas laporan itu lagi, punca utama kebuluran global didorong oleh kehilangan mata pencarian akibat konflik, iklim ekstrem yang mengancam pengeluaran pertanian serta kesukaran ekonomi yang diburukkan lagi oleh wabak.
“Kami melihat bahawa isu kebuluran terus stabil pada kedudukan yang tinggi, fenomena ini merupakan satu berita buruk,” kata Ketua Ekonomi Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), Maximo Torero Cullen.
Beberapa bahagian dunia mengalami penurunan kadar kebuluran termasuk Amerika Selatan dan kebanyakan wilayah di Asia tetapi berbeza di Caribbean, Asia Barat dan Afrika apabila jumlahnya semakin meningkat.
“Untuk mengubah trend ini, negara dunia mesti menggandingkan bantuan kemanusiaan dengan usaha mengukuhkan rantaian bekalan makanan tempatan.
“Setiap negara juga perlu mempunyai penyelesaian setempat,” kata Pengarah Sistem Makanan Kumpulan Bantuan Antarabangsa Mercy Corps, Kevin Mugenya.-REUTERS