SEOUL: Seorang terbunuh dan tiga lagi cedera apabila seorang lelaki menikam orang ramai berhampiran stesen tren bawah tanah di Seoul, hari ini.
Insiden itu berlaku berhampiran stesen bawah tanah Sillim di barat daya Seoul dan polis sudah pun menahan suspek.
“Suspek merupakan seorang lelaki berusia 30-an dan ketika ditahan, dia berada dalam keadaan waras.
“Polis akan menyiasat lelaki itu sebagai suspek utama kes tersebut,” menurut polis Seoul.
Agensi berita Yonhap melaporkan, insiden itu berlaku pada pukul 2.07 petang waktu tempatan.
Video yang disiarkan dalam saluran YouTube menunjukkan pasukan kecemasan tiba di lokasi kejadian bagi membantu mangsa cedera.
Setakat ini, polis sudah menutup lokasi berkenaan bagi membolehkan siasatan dilakukan.
Menurut polis, suspek menjerit dan menyatakan dia tidak mahu teruskan hidup ketika ditahan. – AFP