Lelaki dipenjara pasang muzik kuat tanpa henti, ganggu jiran - Utusan Malaysia

Lelaki dipenjara pasang muzik kuat tanpa henti, ganggu jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara setahun tiga bulan oleh mahkamah di Mataro selepas didapati bersalah melakukan ‘keganasan audio’ terhadap jirannya dengan memainkan muzik elektronik yang sangat kuat tanpa henti selama lebih lima tahun.

Mimpi ngeri mula menghantui penduduk kawasan kejiranan El Masnou di wilayah Catalonia pada tahun 2012, apabila lelaki dikenali sebagai Jordi F. mula memasang muzik yang sangat kuat hampir sepanjang hari dan masih berdegil dengan tabiatnya walaupun sudah berkali-kali ditegur.

Ukuran bunyi yang dibuat pihak berkuasa selama lima tahun menunjukkan bahawa muzik elektronik yang dipasang melebihi 57 desibel pada waktu siang dan mencapai 56 desibel pada waktu malam, jauh melebihi 35 desibel yang dibenarkan oleh undang-undang di negara itu.

Muzik itu dilaporkan begitu kuat sehingga objek di rumah jiran di sekitar kawasan tempat tinggal lelaki itu sentiasa bergetar.

Pada tahun 2015, tiga jiran yang tinggal di rumah bersebelahan dengan Jordi memfailkan aduan terhadapnya, mendakwa dentuman yang berterusan menyebabkan mereka mengalami masalah fizikal dan mental.

Salah seorang jiran warga emas memberi keterangan bahawa dia mengalami insomnia yang memerlukan rawatan sedatif hipnotik manakala penyakit Alzheimer seorang jiran lain turut bertambah teruk kerana terpaksa menahan bunyi muzik elektronik yang sangat kuat itu.

Menurut portal berita El Diario, selain hukuman penjara, peminat muzik elektronik itu turut didenda sebanyak 2,160 euro (RM10,988) serta diarahkan membayar pampasan sebanyak 18,000 euro (RM91,573) kepada mangsa kebisingan itu.

Mahkamah turut mengenakan larangan terhadap lelaki itu yang menghalangnya daripada mengamalkan sebarang profesion atau perdagangan yang berkaitan dengan muzik elektronik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya