DUBLIN: Seorang wanita terkejut selepas menemukan bungkusan lasagna yang sudah tamat tarikh luput pada Mac 1997 tersembunyi di belakang almari ibunya.
Lapor Daily Mail, Orla Walsh dari Dublin berkongsi penemuan bungkusan makanan itu yang disimpan antara beberapa peralatan perkhemahan keluarganya dalam almari tersebut, di laman Twitter.
Menurut Orla, bungkusan lasagna yang dipercayai berusia hampir 26 tahun, masih berada dalam keadaan baik.
Kata Orla, dia pada mulanya menyangka bungkusan hidangan pasta itu telah disimpan dalam peti sejuk beku selama ini.
“Namun, saya mendapat tahu bungkusan lasagna itu dijumpai bersama peralatan perkhemahan lain.
“Ia adalah barang kering dan bukannya barang dalam peti sejuk seperti disangka, sungguh menjijikkan,” katanya menerusi Twitter.
Kisah itu menjadi tular dalam media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.
Malah, ciapan Orla menerima lebih empat juta tontonan dan pelbagai siri komen yang menghiburkan.
Ciapan itu turut menggalakkan pengguna media sosial lain berkongsi pengalaman serupa di bahagian komen Twitter.