KENDARI: Sekurang-kurangnya 15 orang terkorban dan 19 yang lain hilang selepas sebuah feri karam di Teluk Mawasangka Tengah, Buton Tengah, Sulawesi Tenggara, kelmarin.
Menurut agensi mencari dan menyelamat, terdapat 40 penumpang di dalam feri itu yang karam pada pukul 2.50 pagi.
Seramai enam penumpang terselamat dan kini menerima rawatan di hospital berhampiran.
Ketua agensi mencari dan menyelamat Kendari, Muhamad Arafah menerusi kenyataan mengesahkan mengenai keadaan enam penumpang yang terselamat itu.
“Seramai 19 lagi penumpang hilang dalam insiden tersebut dan operasi mencari serta menyelamat giat dilakukan menerusi dua pasukan.
“Pasukan pertama akan menyelam di sekitar lokasi feri itu karam, manakala pasukan kedua pula akan melakukan operasi mencari di atas permukaan air di sekitar lokasi nahas menggunakan bot getah atau bot panjang,” katanya.
Kemalangan membabitkan kapal dan feri kerap berlaku di Asia Tenggara yang kaya dengan kira-kira 17,000 pulau.
Keadaan itu menyebabkan kebanyakan penduduk bergantung kepada feri dan bot kecil untuk mengembara walaupun mempunyai standard keselamatan yang rendah.
Pada 2018, lebih 150 orang lemas apabila sebuah feri karam di satu daripada tasik terdalam di dunia di pulau Sumatera.
Pada Mei tahun lalu, sebuah feri yang membawa lebih 800 orang terkandas di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur dan terperangkap selama dua hari. – AFP