TOKYO: Sebuah syarikat penerbangan Jepun melancarkan perkhidmatan sewa pakaian kepada penumpang bagi membantu mereka melakukan perjalanan dengan lebih selesa tanpa perlu membawa bagasi yang berat.
Perkhidmatan yang digelar ‘Any Wear, Anywhere’ itu membenarkan penumpang menyewa sejumlah pakaian sebelum menaiki penerbangan, yang kemudiannya akan dihantar terus ke bilik hotel atau penginapan sewaan AirBnb mereka semasa ketibaan.
Japan Airlines melancarkan skim itu Rabu lalu dengan harapan dapat meringankan bebanan beg penumpang sekaligus membuat pilihan mampan untuk mengurangkan pelepasan karbon dari pesawat.
Menurut Daily Mail, penumpang boleh menyesuaikan gaya pakaian mereka mengikut kesesuaian saiz tubuh dan majlis yang akan dihadiri sama ada ketika dalam perjalanan perniagaan atau percutian melalui pelbagai koleksi yang disediakan.
Harga sewaan bagi satu set pakaian sekitar 4,000 hingga 7,000 yen (RM130-RM227) dan orang ramai boleh menyewa sehingga lapan busana berbeza selama dua minggu.
Perkhidmatan itu akan dijalankan sebagai projek percubaan selama setahun dan tersedia kepada pelanggan antara 5 Julai lalu hingga Ogos 2024.
Usaha berkenaan tercetus selepas bekas pegawai dasar tenaga Pejabat Presiden Amerika Syarikat (AS), Sam Brinton ditahan pihak berkuasa gara-gara didakwa berulang kali mencuri bagasi pakaian di lapangan terbang.
Brinton membuat rayuan selepas ditangkap mencuri bagasi wanita dari Lapangan Terbang Antarabangsa Harry Reid Las Vegas tahun lalu dan dipenjarakan selama 180 hari.