LONDON: Sekumpulan ahli teori konspirasi dan aktivis antivaksin mendakwa beberapa serangan pengganas mengerikan yang berlaku pada abad ke-21 adalah palsu semata-mata.
Dakwaan itu dibuat ketika golongan itu mengadakan ceramah di Festival Muzik Kebangsaan yang berlangsung di Netherfield, East Sussex.
Kumpulan itu termasuk aktivis antivaksin, David Icke didakwa memberitahu peserta kanak-kanak bahawa beberapa keganasan yang berlaku seperti insiden pengeboman 7 Julai di London dan peristiwa 11 September di New York merupakan `kerja dalaman kerajaan’.
Malah, golongan tersebut mendakwa pembunuhan Presiden John F. Kennedy juga merupakan palsu.
Dalam acara itu, penceramah lain turut mendakwa pembunuhan anggota tentera Britain, Fusilier Lee Rigby yang ditetak sehingga mati oleh kumpulan pejuang Islam pada tahun 2013 juga merupakan satu penipuan.
Michael Manoel Chaves yang merupakan ahli teori konspirasi terkemuka di United Kingdom (UK), mengetuai ceramah mengenai pembunuhan Fusilier Lee Rigby.
Lapor The Times, Michael menunjukkan beberapa gambar percikan darah sambil mempertikaikan insiden pembunuhan remaja berusia 25 tahun itu dalam ceramah tersebut.
Bagaimanapun, pada kemuncak acara itu, David ketika berceramah mendakwa dunia ditadbir oleh sekumpulan makhluk asing.
Acara festival muzik itu dianjurkan oleh Hope Sussex dan organisasi yang dikendalikan oleh bekas ahli kumpulan politik sayap kanan.