SEOUL: Sekurang-kurangnya 22 orang maut dan 14 lagi hilang selepas hujan lebat menyebabkan banjir dan tanah runtuh di Korea Selatan.
Menurut pihak berkuasa, ribuan penduduk lagi diarahkan untuk berpindah dari kediaman masing-masing.
Korea Selatan ketika ini berada di kemuncak musim tengkujuh, dilanda hujan lebat sejak tiga hari lalu sehingga mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan limpahan empangan utama.
Kementerian Dalam Negeri mengesahkan 22 orang meninggal dunia dan 14 lagi hilang dengan kebanyakkannya dikhuatiri tertimbus dalam tanah runtuh atau terjatuh ke dalam takungan banjir.
Sebahagian besar mangsa termasuk 16 orang meninggal dunia dan sembilan hilang, dilaporkan di wilayah Gyeongsang Utara selepas kejadian tanah runtuh besar berlaku di kawasan pergunungan itu.
Terdahulu, agensi berita Yonhap melaporkan sebanyak 24 orang meninggal dunia akibat bencana itu.
“Di kawasan-kawasan yang terjejas teruk, terdapat beberapa rumah ditenggelami air banjir, malah ada yang dihanyutkan sepenuhnya,” jelas laporan itu.
Lebih 6,400 penduduk di daerah tengah Goesan diarah berpindah serta-merta ketika Empangan Goesan mula melimpah akibat hujan lebat sehingga menyebabkan beberapa kampung berhampiran dinaiki air.
Beberapa penduduk yang dilaporkan hilang didapati dihanyutkan arus deras air sungai di wilayah Gyeongsang Utara.
Pasukan penyelamat sedang berusaha membawa naik kira-kira 19 kenderaan yang terkandas terowong bawah tanah di Cheongju, wilayah Chungcheong Utara yang mana seorang mangsa dilaporkan meninggal dunia.
“Banjir kilat melanda kawasan itu terlalu cepat sehingga orang ramai tidak dapat menyelamatkan diri.
“Paras air kekal tinggi dan tidak dapat dipastikan bilangan individu yang masih terperangkap dalam kenderaan mereka,” jelas laporan Yonhap – AFP