BARCELONA: Kecewa dengan pelancong yang hanya datang untuk bergambar, pemilik kedai runcit berusia lebih seratus tahun di Barcelona mengumumkan untuk mengenakan bayaran 5 euro (RM25) kepada pengunjung yang masuk tanpa membuat pembelian di premis itu.
Kedai Queviures Múrria menjalankan perniagaan sejak 1898 dan merupakan salah satu lokasi yang paling menarik perhatian di seluruh Barcelona.
Penampilan vintaj dan reka bentuk dalaman tradisional menarik beratus-ratus pelancong setiap hari, tetapi ramai yang datang tidak berminat dengan produk yang dijual termasuk pelbagai jenis sosej tradisional yang diawet, potongan daging beku, keju, minyak, wain dan lain-lain.
Pengurus Queviures Múrria, Toni Merino berkata, idea menampal peringatan untuk mengenakan bayaran kepada pelancong yang hanya masuk ke kedai runcit itu dan melihat sekeliling tanpa membeli apa-apa bermula sebagai jenaka.
Tetapi apabila kakitangan dan pelanggan tetap mengadu semakin tidak selesa dengan peningkatan pelancong yang masuk dan mengambil gambar walaupun langsung tidak berminat dengan produk yang dipamerkan, mereka memutuskan untuk benar-benar melaksanakannya.
Tindakan itu bagaimanapun mendapat kecaman warga net selepas tular di media sosial baru-baru.
Namun Merino menjelaskan, pihaknya tidak berniat mengenakan bayaran masuk untuk mengaut keuntungan, sebaliknya dengan menyiarkan amaran berkenaan di tingkap kedai, mereka berjaya menghalang kebanyakan pengunjung yang tidak diingini.
“Kini, kebanyakan pelancong yang masuk ke dalam kedai akhirnya membeli sesuatu kerana mereka tidak suka merenung bahagian dalam kedai hanya melalui tingkap,” katanya.