OTTAWA: Seorang bekas penasihat syarikat OceanGate mendakwa kapal selam Titan sempat mengeluarkan muatannya sebelum meletup ketika misi ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic di dasar laut pada bulan lalu.
Memetik portal Insider, Rob McCallum turut mendakwa kapal Titan cuba naik ke permukaan air sebelum terputus komunikasi dengan kapal induknya.
McCallum merupakan individu kedua yang mendakwa firma OceanGate cuba membatalkan penyelaman berkenaan sebelum tragedi itu berlaku.
Berdasarkan laporan Insider, kapal selam Titan dikatakan meringankan muatannya supaya boleh naik ke permukaan air.
Laporan itu turut mendakwa lima penumpang berada dalam Titan mungkin cuba membatalkan penyelaman namun kapal selam itu sudah meletup sebelum berbuat demikian.
McCallum yang merupakan perunding dalam ekspedisi sebelum ini memaklumkan dia menerima laporan awal mengenai penyelaman terakhir Titan.
“Laporan diterima sejurus selepas kejadian itu, lama sebelum ia meletup, menunjukkan kapal selam itu menghampiri 3,500 meter,” katanya.
Menurut McCallum, kapal Titan mengeluarkan muatan yang bermakna penyelaman dibatalkan dan kemudian ia terputus komunikasi dengan kapal induk.
McCallum merupakan pengasas bersama syarikat ekspedisi pengembaraan EYOS Expeditions.
Beliau sebelum ini pernah mengetuai ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic dan kawasan dasar laut lain.
Titan dilaporkan hilang dari radar ketika melakukan selaman selama dua jam sebelum akhirnya disahkan meletup semasa ekspedisi meneroka bangkai kapal Titanic pada kedalaman 3,800 meter di bawah Laut Atlantik dan mengorbankan semua penumpangnya berdasarkan serpihan badan kapal yang ditemukan.
Mangsa terdiri daripada ketua pegawai eksekutif OceanGate, Stockton Rush yang mengatur ekspedisi itu, jutawan warga Britain, Hamish Harding, hartawan kelahiran Pakistan yang memegang kerakyatan Britain, Shahzada Dawood, serta anaknya, Suleman Dawood dan pakar kapal Titanic, Paul-Henry Nargeolet.