Kapal selam AS tiba di Korea Selatan, Pyongyang lancar dua peluru berpandu balistik - Utusan Malaysia

Kapal selam AS tiba di Korea Selatan, Pyongyang lancar dua peluru berpandu balistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik ke arah timur awal pagi tadi, hanya beberapa jam selepas kapal selam Amerika Syarikat (AS) tiba di pelabuhan Korea Selatan buat kali pertama dalam tempoh empat dekad, kata tentera Jepun dan Korea Selatan.

Kementerian Pertahanan Jepun, berkata kedua-dua peluru berpandu itu berada di luar zon ekonomi eksklusif Jepun.

Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan turut menggesa Korea Utara menghentikan pelancaran berkenaan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara yang dibuat secara berturut-turut.

“Ia tindakan provokatif serius yang menjejaskan keamanan dan kestabilan Semenanjung Korea serta masyarakat antarabangsa, malah jelas pelanggaran terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata JCS dalam satu kenyataan.

Tentera AS berkata, pihaknya sedar mengenai pelancaran peluru berpandu itu dan sedang berunding dengan sekutu dan rakan kongsinya.

Menurut Komando Indo-Pasifik AS dalam satu kenyataan, pelancaran itu tidak menimbulkan ancaman segera kepada AS atau sekutunya, tetapi situasi berkenaan menunjukkan kesan ketidakstabilan program senjata haram Korea Utara.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Jepun, Yasukazu Hamada, berkata peluru berpandu pertama mencapai ketinggian 50 kilometer (km) dan bergerak sejauh 550 km, manakala peluru berpandu kedua mencapai ketinggian 50 km dan terbang pada jarak 600 km.

Katanya, Jepun membuat bantahan susulan pelancaran peluru berpandu itu melalui saluran diplomatik.

Pelancaran itu dibuat hampir seminggu selepas Korea Utara menguji peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharunya ‘Hwasong-18’ yang menurut Pyongyang, amaran kepada AS dan musuh lain.

Dalam pada itu, seorang askar AS yang berdepan tindakan tatatertib melarikan diri merentasi sempadan ke Korea Utara.

Menurut Washington, askar itu dipercayai berada dalam tahanan Korea Utara, sekali gus mencetuskan krisis baharu antara kedua-dua musuh berkenaan.

“Tembakan peluru berpandu balistik terbaru Korea Utara mungkin tidak berkaitan dengan insiden seorang askar AS yang menyeberangi sempadan antara Korea, tetapi insiden sebegitu juga tidak membantu (konflik sedia ada),” kata profesor di Universiti Ewha di Seoul, Leif-Eric Easley. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya