MOSCOW: Russia menegaskan mana-mana kapal yang melakukan perjalanan ke pelabuhan Laut Hitam di Ukraine, akan dianggap sebagai sasaran ancaman ketenteraan.
Amaran itu dibuat ketika Ukraine memaklumkan akan mewujudkan laluan perkapalan sementara untuk meneruskan eksport bijirin.
Baru-baru ini, Russia menarik diri daripada perjanjian yang membenarkan Ukraine mengeksport bijirin melalui Laut Hitam ke bahagian dunia yang bergelut dengan kebuluran.
Kremlin mendakwa keputusan menarik diri daripada perjanjian itu disebabkan kegagalan memenuhi tuntutan negara itu untuk melaksanakan peraturan pelonggaran perjanjian yang selari dengan eksport makanan dan bajanya.
Lapor Al Jazeera, Kementerian Pertahanan Russia menegaskan pihaknya akan menganggap semua kapal yang melakukan perjalanan ke Ukraine berpotensi membawa bekalan ketenteraan bagi pihak Kyiv.
Malah, menurut kementerian, mana-mana kapal yang mengibarkan bendera negara ketika perjalanan itu akan turut sama dianggap sebagai `pihak terlibat dalam konflik Ukraine’.
Dalam satu kenyataan dimuat naik menerusi aplikasi Telegram, Kementerian Pertahanan Russia menegaskan, langkah pembatalan perjanjian itu bermula pada tengah malam waktu Moscow.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Russia tidak menyatakan jenis tindakan yang akan diambil ke atas kapal yang berlayar ke pelabuhanLaut Hitam.
Tambah kementerian, Russia juga mengisytiharkan kawasan tenggara dan barat laut perairan antarabangsa Laut Hitam sebagai tidak selamat buat sementara waktu untuk pelayaran.
Moscow membuat pengisytiharkan demikian tanpa memberikan perincian lanjut mengenai bahagian laut yang akan terjejas.
Semalam, Ukraine memaklumkan pihaknya dalam proses mewujudkan laluan perkapalan sementara melalui Romania, negara berhampiran Laut Hitam.
“Matlamat utamanya adalah untuk menghapuskan sekatan perkapalan antarabangsa di bahagian barat laut di Laut Hitam,” kata pemangku Menteri Pembangunan Komuniti, Wilayah dan Infrastruktur Ukraine, Vasyl Shkurakov.
Shkurakov berkata demikian dalam surat dikemukakan kepada agensi perkapalan dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).
Pengumuman berkaitan amaran Russia itu muncul ketika seorang pegawai kanan White House mendakwa Moscow berniat melancarkan serangan terhadap kapal awam di Laut Hitam dan berhasrat meletakkan segala kesalahan akibat kejadian itu ke atas tentera Ukraine.