SEOUL: Seorang jutawan hartanah Korea Selatan menyumbang lebih AS$100 juta (kira-kira RM466.4 juta) kepada semua penduduk kampung kelahirannya di Unpyeong-ri di Suncheon, selain alumni sekolahnya.
United Press International (UPI) melaporkan, Lee Joong-keun yang juga Pengerusi Kumpulan Booyoung iaitu sebuah rangakain pembangunan hartanah gergasi, memberikan wang tunai 100 juta won (kira-kira RM358,561) kepada setiap 280 isi rumah di kampung luar bandar yang terletak kira-kira 290 kilometer (km) selatan Seoul.
Penduduk yang bersekolah di sekolah rendah dan menengah di kampung bersamanya, turut dihadiahkan wang bulan lalu, walaupun mereka tidak lagi tinggal di sana.
Jutawan berusia 82 tahun itu yang pernah menjalani hukuman penjara kerana penyelewengan dan pengelakan cukai, turut menyumbangkan hadiah, buku sejarah dan set alatan kepada pihak sekolah yang berkenaan termasuk pemberian wang tunai dengan jumlah sumbangan dianggarkan sekitar AS$180 juta (kira-kira RM839.7 juta).
“Tujuan utama Pengerusi Lee adalah untuk menyatakan rasa terima kasihnya kepada semua penduduk kampung yang membantu dalam melindungi dan mengekalkan keharmonian kampung halamannya selama ini.
“Beliau sebenarnya mahu derma yang disumbangkannya itu tidak dihebahkan,” kata seorang pegawai Kumpulan Booyoung kepada UPI News Korea.
Kerjayanya sebagai pemaju hartanah mula berkembang pada 1970-an. Beliau mempunyai latar belakang keluarga sederhana dianggap perintis dalam perniagaan sewa pangsapuri di Korea.
Kemudian, perniagaan Kumpulan Booyoung berkembang ke kawasan lain, termasuk hotel dan padang golf, akhirnya menjadi konglomerat ke-22 terbesar di Korea dengan aset AS$16 bilion (kira-kira RM74.62 bilion).
Joong-keun mengumpul kekayaan peribadi lebih daripada AS$1 bilion (kira-kira RM4.66 bilion), menjadikannya seorang daripada 30 terkaya di Korea Selatan.
Bulan lalu, AS$7.6 juta (kira-kira RM35.4 juta) didermakan atas nama syarikat Kumpulan Booyoung kepada sebuah organisasi yang mempunyai hubungan dengan Tentera Udara Korea.
Joong-keun dan syarikatnya yang terkenal sebagai dermawan juga sudah membuat sumbangan dermawan di Kemboja, Vietnam dan Laos.
Pada 2004, Joong-keun ditangkap kerana mengelak cukai dan menggelapkan dana syarikat.
Pada 2018, beliau sekali lagi ditangkap atas tuduhan sama dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun setengah, kemudian dibebaskan pada 2021 dengan parol.
Walaupun hukuman Joong-keun berakhir pada awal 2022, dia dihalang selama lima tahun daripada bekerja di institusi awam atau di mana-mana entiti yang berkaitan dengan punca jenayahnya.
Ini bermakna, secara teknikalnya, Joong-keun tidak akan dibenarkan mengetuai Kumpulan Booyoung sehingga awal 2027, apabila usianya hampir 87 tahun.