JAKARTA: Presiden Joko Widodo (Jokowi) mengaku ‘pening’ melihat ragam masyarakat di negara ini yang sering berbalah kerana sentimen politik.
Jokowi memaklumkan, dia sering melihat perkara itu berlaku ketika membuka media sosial untuk mengetahui perkembangan semasa.
Beliau tegaskan, perbalahan mengenai perbezaan politik tidak seharusnya berlaku, lebih-lebih lagi melibatkan hak berkaitan agama.
“Saya sering gelengkan kepala apabila membuka media sosial. Kenapa sesama kita perlu bertelagah jika mempunyai pandangan berbeza dalam politik?
“Kita tidak seharusnya bergaduh hanya kerana berbeza pandangan mengenai haluan politik dan perkta itu perlu dipandang serius jika melibatkan hal agama.
“Saya buka media sosial untuk ambil tahu perkembangan semasa, namun saya lihat banyak masyarakat kita bergaduh untuk perkara yang tidak perlu,” kata Jokowi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan Indonesia merupakan sebuah negara demokrasi yang rakyatnya bebas memilih pemimpin dan kecenderungan politik mereka.
Katanya, biarpun ada pihak berpandangan pilihan raya hanya menyebabkan perpecahan pendapat di Indonesia semakin teruk, Jokowi membantah perkara tersebut.
“Dalam pilihan raya tahun depan, saya tidak mahu masyarakat berpecah kerana perbezaan politik, sebaliknya saya mahu kita semua bersatu untuk memilih pemimpin dan kerajaan.
“Apa gunanya jika kita bergaduh mengenai politik? Adakah negara kita menjadi semakin maju? Bangsa kita makin ke depan?,” ujar Jokowi.
Selain itu, Jokowi juga meminta semua pihak supaya tidak menyebarkan fitnah atau berita tidak sahih dalam media sosial.
Jelasnya, media sosial boleh digunakan untuk sebar maklumat berfaedah kepada masyarakat dengan lebih berkesan berbanding berita palsu.