BERLIN: Jerman mendedahkan strategi negara itu untuk mengurangkan kebergantungan terhadap ekonomi kedua terbesar di dunia, China khususnya dalam “sektor kritikal” termasuk perubatan, bateri litium yang digunakan dalam kereta elektrik selain elemen-elemen penting pembuatan cip.
Portal berita CNN melaporkan, kerajaan Jerman buat pertama kalinya menerbitkan dokumen “Strategi Mengenai China” yang memberi tumpuan bahawa Berlin harus menguruskan sikap kebergantungan kepada negara kuasa kedua ekonomi dunia itu.
Dokumen setebal 40 halaman itu turut menekankan kritikan terhadap rekod hak asasi manusia oleh Beijing dan sikap mereka terhadap undang-undang
China merupakan rakan dagang yang paling penting bagi Jerman dengan import dan eksport antara kedua negara tersebut mencapai nilai hampir €300 bilion euro (RM1.5 trilion) pada tahun 2022, menurut kerajaan.
“China telah berubah. Akibat daripada ini dan keputusan politik China, kami perlu mengubah pendekatan terhadap China,” kata dokumen tersebut yang dibentangkan dan dipersetujui oleh Kabinet setelah berbulan-bulan ditunda.
China rakan penting Jerman dalam menangani perubahan iklim, pandemik, dan pembangunan lestari, kata dokuemen strategi kerajaan itu lagi.
Namun, menurut dokumen itu, China ‘lebih terdorong mengejar kepentingan mereka sendiri dan cuba dengan pelbagai cara untuk mengubah peraturan yang sedia ada dalam tuntutan antarabangsa berdasarkan peraturan.’
Dokumen tersebut turut memberi penekanan bahawa ekonomi terbesar di Eropah itu ingin mempertahankan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan China, namun, dalam masa sama mengurangkan ketergantungan dalam sektor-sektor kritikal dengan mengalihkan rantaian bekalan mereka – matlamat yang disebut sebagai “mengurangkan risiko.”
Canselor Jerman, Olaf Scholz dalam ciapan di Twitter menyebut: “Tujuan kami (Jerman) bukanlah untuk berpisah (dari Beijing), tetapi kami mahu mengurangkan kebergantungan yang kritikal pada masa depan.”
Dokumen tersebut memaklumkan, Jerman terlalu bergantung pada China dalam teknologi perubatan dan farmaseutikal termasuk antibiotik serta dalam teknologi maklumat.