MAKASSAR: Seorang jemaah haji wanita yang berasal dari Makassar, Sulawesi Selatan menjadi tular apabila tiba di tanah air dengan perhiasan emas memenuhi badannya.
Jemaah haji yang dikenali sebagai Suarnati Daeng Kanang, 46, tahun, memakai perhiasan emas seberat 100 gram yang dibelinya ketika menunaikan ibadah haji di tanah suci, baru-baru ini.
Video yang memaparkan dia memperagakan sejumlah barang kemas itu mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat dengan kebanyakannya menyifatkan Suarnati sengaja ingin menunjuk-nunjuk.
“Ada seorang pengguna media sosial meminta saya beristighfar kerana menunjukkan barang kemas dalam khalayak umum.
“Saya benar-benar rasa malu dengan teguran itu kerana saya tidak sedikit pun mempunyai niat untuk berlagak atau menunjuk-nunjuk barang kemas saya,” katanya kepada CNN Indonesia.
Suarnati dari kumpulan pertama jemaah haji tiba di Asrama Haji Sudiang Makassar selepas selesai menunaikan ibadah tersebut pada minggu lalu.
Katanya, dia sengaja memakai barang kemas itu untuk menceriakan suasana bersama para sahabatnya.
“Saya membeli barang kemas seberat 100 gram itu pada harga 120 juta rupiah (RM36,889) ketika berada di tanah suci.
“Semua barang kemas itu saya beli sebagai pelaburan masa depan dan mungkin boleh digunakan untuk modal perniagaan suatu hari nanti,” ujarnya.