NEW YORK: Seorang lelaki dari North Carolina tular di media sosial baru-baru ini selepas menjadi satu-satunya penumpang yang menaiki pesawat American Airlines dalam penerbangan minggu lalu.
Phil Stringer mengakui menikmati pengalaman seolah-olah menaiki jet peribadi dalam rakaman video penerbangan penumpang solo yang jarang berlaku itu di saluran TikToknya.
Malah, dalam video yang sudah menerima lebih 15.4 juta tontonan itu, Stringer turut diberikan keseluruhan demonstrasi keselamatan dalam cara yang santai dan melucukan.
Ahad lalu, Stringer merupakan satu-satunya penumpang yang masih setia menunggu penerbangan Oklahoma City ke Charlotte yang tertangguh selama 18 jam akibat isu penyelenggaraan.
“Apabila saya akhirnya dipanggil ke pesawat tepat sebelum tengah malam, saya mendapati kawasan kaunter kosong. Saya fikir saya sudah terlambat dan penumpang lain sudah naik ke pesawat kerana tidak ada seorang pun di sana.
“Tetapi petugas memberitahu sayalah satu-satunya penumpang yang tinggal. Saya memohon maaf berkali-kali kerana merasa bersalah menyebabkan kakitangan terpaksa dipanggil bekerja hanya untuk membawa saya,” katanya.
Broker hartanah itu berkata, dia diberi ganjaran duduk di kelas pertama dan menerima layanan istimewa daripada empat kru kabin pesawat Airbus A321 yang biasanya boleh memuatkan seramai 181 penumpang.
“Ya awalnya itu adalah hari yang melelahkan. Tiada siapa yang mahu tinggal di lapangan terbang selama 18 jam, tetapi jika anda sentiasa berpandangan positif, anda dapat mengubah sesuatu menjadi pengalaman yang sangat menyeronokkan,” katanya.-AGENSI