ROM: Lebih 16 bandar di seluruh Itali mengeluarkan amaran merah ketika selatan Eropah terus bergelut dengan gelombang haba dan berdepan kemungkinan suhu pecah rekod yang baharu.
Lapor The Guardian, Rom, Florence dan Bologna antara kawasan yang terjejas dengan ramalan mencadangkan Sicily dan Sardinia boleh melihat suhu meningkat setinggi 49 darjah Celsius, paling panas pernah direkodkan di Eropah.
Amaran merah bermakna individu sihat turut berisiko terkena strok haba dan kerajaan Itali menasihatkan penduduk yang berada di kawasan berjaga-jaga mengelak daripada terdedah dengan cahaya matahari antara pukul 11.00 pagi dan 6.00 petang.
Beberapa kawasan di Greece, Perancis dan Sepanyol juga mengalami suhu yang melampau, dengan laporan pelancong pengsan dan seorang pekerja pembinaan meninggal dunia berhampiran Milan.
Suhu di Greece turut dilapor melebihi 40 darjah Celsius dengan puluhan sukarelawan dikerah mengedarkan botol air di tapak pelancongan dan memaksa pihak berkuasa menutup sementara kawasan peranginan Acropolis di Athens untuk melindungi pengunjung daripada cuaca panas.
Buat pertama kalinya, larangan dikenakan ke atas industri pembinaan dan penghantaran pada waktu paling panas dengan pekerja di sektor awam serta swasta di Athens digalakkan untuk bekerja dari rumah.
Di Sepanyol, Persatuan Palang Merah mengarahkan orang ramai yang tinggal berhampiran kebakaran hutan supaya berada di dalam rumah dan menutup tingkap.
Gelombang haba yang teruk itu didakwa disebabkan oleh kawasan tekanan tinggi dinamakan Cerberus yang membawa udara panas dari Afrika ke Eropah.
Suhu tinggi dijangka berterusan hingga minggu depan dan agensi Angkasa Eropah (ESA) yang memantau suhu darat dan laut melalui satelitnya berkata, Itali, Sepanyol, Perancis, Jerman dan Poland mungkin berdepan cuaca melampau.
Selain minum air dan mengelakkan pendedahan langsung kepada cahaya matahari, orang ramai turut dinasihatkan mengenakan pakaian nipis, memakai pelindung matahari serta mengelakkan minuman kopi dan alkohol yang menyebabkan dehidrasi.