STOCKHOLM: Imej sweden kini tercalar berikutan insiden membakar al-Quran Rabu lalu yang turut mengubah pandangan dunia terhadap negara itu walaupun selama ini lantang memperjuangkan hak asasi manusia.
Biarpun jenayah kebencian sering berlaku di negara itu, kerajaan Sweden dilihat masih enggan mengambil langkah konkrit untuk mencegahnya hingga menyebabkan rakyatnya seakan tidak merasa takut untuk terus melakukan perbuatan terkutuk itu.
CETUS KETEGANGAN DIPLOMATIK
Sweden yang terkenal dengan nilai-nilai progresif dan komitmennya terhadap hak asasi manusia kini berada di tengah-tengah ribut diplomatik yang dasyat selepas pihak berkuasa membenarkan aktiviti membakar al-Quran yang dilakukan pada 28 Jun lalu di luar sebuah masjid di Stockholm.
Tindakan tersebut dilakukan dilakukan pendatang Iraq, Salwan Momika,37, yang mendakwa mahu menyatakan pendapat tentang al-Quran tahun ketika seluruh umat Islam bersedia menyambut perayaan Aidiladha selepas berakhirnya ibadah haji di Mekah.
Perbuatan keji itu mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan situasi itu.
Menurut seorang jurucakap, jawatankuasa eksekutif OIC berkumpul di Jeddah untuk membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil terhadap tindakan keji itu serta sikap kolektif yang wajar ditunjukkan negara-negara anggota dalam menangani isu membabitkan penghinaan terhadap agama Islam.
Maghribi dilaporkan memanggil duta Sweden ke Rabat manakala Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut melakukan perkara sama bagi melahirkan rasa tidak puas hati terhadap perbuatan itu yang disifatkan sebagai tindakan perkauman.
HINA ISLAM BUKAN KEBEBASAN BERSUARA
Penasihat Diplomatik Presiden UAE, Dr. Anwar Gargash dalam satu kenyataan berkata, serangan terang-terangan dan berulang kali terhadap agama Islam atas alasan kebebasan berpendapat hanya akan menambah kebencian dan persengketaan.
Kementerian Luar Iraq mengecam keputusan Sweden membenarkan kumpulan pelampau menghina al-Quran dan menyifatkan tindakan sedemikian seumpama sengaja ‘membakar perasaan umat Islam di seluruh dunia dan mewakili provokasi ýang sangat berbahaya.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menegaskan, tindakan Sweden melemahkan lagi peluang negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
“Kami akan mengajar orang Barat yang sombong bahawa menghina orang Islam bukanlah kebebasan bersuara.
“Kami akan menunjukkan reaksi dengan sekeras-kerasnya, sehingga kemenangan menentang organisasi pengganas dan Islamofobia berjaya dicapai,” tegasnya.
Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata, perbuatan sedemikian bercanggah dengan usaha untuk menggalakkan toleransi, kesederhanaan dan penolakan ekstremisme yang disuarakan Sweden sebelum ini.
“Kerajaan Arab Saudi dan mengecam tindakan biadap pembakaran naskhah al-Quran oleh seorang pelampau di Masjid Pusat Stockholm di Sweden selepas solat Aidiladha.
“Tindakan kebencian dan berulang ini tidak boleh diterima dengan sebarang justifikasi kerana jelas mencetuskan kebencian dan perkauman maah bercanggah dengan usaha antarabangsa yang ingin menyebarkan nilai toleransi.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini juga melemahkan sikap saling menghormati yang diperlukan untuk mengukuhkan hubungan antara rakyat dan negara di seluruh dunia,” katanya.-AGENSI