BENGALURU: India melancarkan roket yang membawa kenderaan robotik dalam usaha mendaratkan kapal angkasa itu di permukaan kutub selatan bulan.
Ia dianggap sebagai satu pencapaian belum pernah berlaku sebelum ini yang bakal memajukan kedudukan India sebagai kuasa besar dalam industri angkasa lepas.
Roket pelancar LVM3 milik Pertubuhan Penyelidikan Angkasa Lepas India (ISRO) berlepas dari Pusat Angkasa Satish Dhawan di Sriharikota di Andhra Pradesh, selatan India, dengan meninggalkan kepulan asap dan api.
Kira-kira 16 minit selepas pelancaran, pusat kawalan ISRO mengumumkan roket itu berjaya meletakkan Chandrayaan-3 di orbit bumi yang akan menghantar kapal angkasa itu ke permukaan bulan sekitar Ogos depan.
Sekiranya misi itu berjaya, India bakal menyertai tiga negara lain iaitu Amerika Syarikat (AS), bekas Kesatuan Soviet dan China yang pernah mendaratkan kenderaan robotik di permukaan bulan.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada agensi angkasa lepas pernah mendaratkan kenderaan robotik mereka berhampiran kutub selatan bulan.
Dilaporkan, lebih 1.4 juta penduduk menonton pelancaran kapal angkasa Chandrayaan-3 di saluran YouTube ISRO dengan rata-rata warganet mengucapkan tahniah dan Jai Hind (kemenangan kepada India).
Chandrayaan-3 yang bermaksud `kenderaan bulan’ dalam bahasa Sanskrit, dilengkapi jentera pendaratan setinggi dua meter yang direka khas untuk menggunakan kenderaan robotik berhampiran kutub selatan bulan.
Ia dijangka dapat berfungsi selama dua minggu bagi menjalani siri eksperimen.
Menurut ISRO, Chandrayaan-3 dijangka melakukan pendaratan sekitar 23 Ogos depan.
“Tahniah diucapkan kepada India, Chandrayaan-3 kini sudah memulakan perjalanan ke bulan,” kata Pengarah ISRO, Sreedhara Panicker Somanath.
Pada 2019, misi Chandrayaan-2 dikendalikan oleh ISRO berjaya mengerahkan pengorbitnya namun jentera pendaratan dan kenderaan robotiknya musnah dalam nahas berhampiran lokasi kapal angkasa Chandrayaan-3 akan cuba melakukan pendaratan. – REUTERS/AGENSI