India hentikan eksport beras: Inflasi makanan global bakal naik

India hentikan eksport beras: Inflasi makanan global bakal naik

PETANI menanam padi di Amritsar, India. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: India mengambil keputusan untuk menghentikan eksport beras putih bukan basmati sebagai langkah mengelakkan lonjakan harga bekalan domestik.

Hujan lebat yang melanda negara ini menyebabkan hasil tanaman padi terjejas, sekali gus menyaksikan kenaikan harga beras lebih 11 peratus dalam tempoh 12 bulan lalu.

Beras putih bukan basmati merangkumi kira-kira 10 juta tan daripada sejumlah 22 juta tan eksport beras India tahun lalu.

Beras putih bukan basmati sering dieksport ke negara Asia dan Afrika.

Namun, langkah itu dibimbangi pelbagai pihak apabila ia boleh mencetuskan kenaikan kadar inflasi, sekali gus meningkatkan lagi harga makanan dalam pasaran global.

“Boleh dikatakan langkah ini menyebabkan harga makanan dunia naik lagi dan sudah tentu keadaan itu membebankan masyarakat di seluruh dunia,” kata Ketua Analisis Pelaburan dan Kajian di Hargreaves Lansdown.

Bekalan makanan dunia sudah pun terjejas, terutamanya selepas Russia enggan melanjutkan perjanjian bijirin dengan Ukraine.

Bagaimanapun, kerajaan India masih membenarkan golongan petani mengeksport beras mereka, termasuk beras basmati panjang.

Sekatan itu akan berkuat kuasa mulai 20 Julai ini, tetapi kapal yang sedang diisi muatan beras akan dibenarkan untuk dieksport.

Kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk membenarkan penghantaran bukan beras putih ke beberapa negara lain mengikut keperluan keselamatan makanan.

Selain beras, harga makanan lain juga dilaporkan meningkat di negara ini, termasuk sayur yang harganya naik sehingga 21 peratus dari Mei hingga Jun lalu, sekali gus merunsingkan banyak penduduk.

Kadar inflasi turut naik sehingga 4.8 peratus pada bulan lalu, iaitu lebih tinggi daripada yang dijangka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya